Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah melihat langkah Malaysian Football League (MFL) untuk memansuhkan Piala MFL bermula musim 2025-2026 sebagai satu langkah yang mampu memberi impak baik terhadap pembangunan pemain muda.

“Bagi saya, tiada masalah pun kalau kita nak pemain muda lebih berdaya saing dengan pemain utama meskipun tiada lagi Piala MFL dan mereka setidak-tidaknya dapat beri tekanan dalam skuad senior.

“Pandangan saya secara peribadi, untuk pemain yang berumur sekitar 18 hingga 20 tahun, mereka sepatutnya sudah hampir untuk berada dalam skuad utama, tidak perlu di Piala MFL.

“Saya rasa Perak FC antara pasukan yang banyak mengetengahkan pemain daripada Piala MFL dan daripada situ kita boleh lihat kebanyakan mereka sudah pun berusia 24 tahun pada musim ini.

“Jadi saya menyokong sekiranya Piala MFL tidak lagi dianjurkan kerana kita ingin pemain lebih berdaya saing dan secepat mungkin berada di pasukan utama,” katanya.

Tiada Lagi Piala MFL 2025/25

MFL dalam satu kenyataan rasmi memaklumkan bahawa kejohanan Piala MFL tidak akan dipertandingkan pada musim 2025-2026 apabila Rakan Kongsi Liga sebulat suara bersetuju untuk memansuhkan saingan bawah 23 tahun itu.

Keputusan untuk memansuhkan Piala tersebut dibuat menerusi perbincangan bersama Rakan Kongsi Liga yang terdiri daripada 13 Kelab Liga Super dalam pertemuan pada 19 Februari 2025.

Selepas dua musim dianjurkan sejak 2023, MFL mendapati pihak kelab menanggung perbelanjaan tinggi dari segi pembayaran gaji pemain dan operasi logistik sehingga mencecah Rm28 juta bagi kos yang ditanggung keseluruhan kelab Liga Super.

Sementara bagi Ketua Jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali turut senada dengan apa yang diperkatakan oleh Yusri Che Lah.

“Saya melihat daripada sudut positif di mana yang pertama, ini adalah peluang untuk pemain-pemain muda kita diketengahkan hanya ke pasukan utama di pentas Liga Super.

“Dan ini yang biasa kita amalkan di Terengganu juga di mana kita bawa beberapa pemain untuk bersama skuad utama.

“Jadi saya harap pemain muda kita terutamanya pemain tempatan seharusnya menggunakan peluang ini untuk menimba pengalaman lebih luas bersama pasukan senior dan mereka yang pernah beraksi di Piala MFL sebelum ini akan terus berkembang di pentas Liga Super,” katanya.