Orang ramai khususnya penduduk serta pengguna jalan raya di kawasan Kuala Langat dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal susulan penganjuran acara Berbasikal Lebuhraya Lelaki sempena SUKMA Selangor 2026 pada 18 Ogos 2026 (Selasa).
Perlumbaan berkenaan akan bermula dari Bagan Lalang, Sepang pada jam 8.30 pagi dan dijangka mula memasuki laluan di Daerah Kuala Langat sekitar jam 9.00 pagi.
Antara laluan yang akan dilalui pelumba ialah Tanjung Sepat, Batu Laut, Morib, Kelanang, Banting dan Jalan Banting–Semenyih.
Sepanjang perlumbaan berlangsung, kawalan dan sekatan lalu lintas secara berperingkat akan dilaksanakan bagi memberi laluan kepada pelumba serta konvoi rasmi perlumbaan.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif sekiranya perlu bagi mengelakkan sebarang kesulitan sepanjang tempoh perlumbaan.
Orang ramai juga diminta mematuhi arahan PDRM, Marshall dan petugas keselamatan yang bertugas serta mengelakkan daripada meletakkan kenderaan di sepanjang laluan perlumbaan.
Kerjasama dan kesabaran orang ramai amat dihargai demi memastikan keselamatan para atlet serta kelancaran penganjuran SUKMA Selangor 2026.
Orang ramai turut diminta menyebarkan hebahan ini kepada penduduk dan pengguna jalan raya di Daerah Kuala Langat.