Selangor semakin hampir untuk mempertahankan pingat emas futsal SUKMA selepas berjaya melangkah ke aksi final hasil kemenangan 5-3 ke atas Johor.
Beraksi di Kompleks Belia dan Sukan Shah Alam, Selangor tidak diberikan laluan mudah untuk mengecapi kemenangan penting tersebut.
Ia jelas dibuktikan apabila anak buah Eoh Shao Yao itu ketinggalan pada minit keempat hasil rembatan leret Abdul Aiman Syahmi Abdul Razak untuk memberikan kelebihan buat Johor.
Kelebihan itu bagaimanapun hanya bertahan tiga minit apabila Muhammad Amir Ammar Ibrahim menyamakan kedudukan selepas menolak masuk hantaran lintang cantik daripada ketua pasukan, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan.
Muhammad Aidil Zakwan Zaidi menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-12 dan kemudiannya menambah jaringan ketiga sebaik sahaja aksi babak kedua berlangsung.
Tersentak dengan keadaan tersebut, Johor bangkit dengan lebih berbahaya dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-26 oleh Muhammad Syaifullah Sulaiman dan minit ke-36 menerusi Muhammad Farhat Alissan untuk memadam kelebihan dimiliki Selangor.
Namun, kesilapan penjaga gol Johor, Izham Zulkifli yang keluar dari posisinya memberikan ruang kepada Muhammad Zaim Lutfi Shahawaludin untuk menanduk masuk bola bagi gol keempat pada minit ke-37.
Johor yang menerapkan taktikal ‘Power Play’ terpaksa menelan kekecewaan apabila Selangor menambah gol kelima menerusi Muhammad Fitri Haqim Faizanizam seminit kemudian.
Keputusan itu kekal hingga tamat permainan untuk Selangor mengesahkan kemaraan bagi berhadapan dengan Pulau Pinang yang menundukkan Wilayah Persekutuan 3-2.
Lebih manis buat Selangor apabila acara wanita turut menyaksikan Gergasi Merah itu turut melangkah ke pentas final. Kemaraan itu hadir selepas Selangor menundukkan Pahang 1-0 pada aksi separuh akhir.
Wilayah Persekutuan bakal menjadi lawan mereka selepas skuad kendalian Nazim Din itu mudah menumpaskan Pulau Pinang 5-1.
Berikut merupakan senarai penuh aksi final futsal SUKMA 2026:
Futsal SUKMA 2026
Final Lelaki (20 Ogos 2026)
Selangor lawan Pulau Pinang – 8.00 Malam
Tempat Ke-3/4 LelakiĀ
Johor lawan Wilayah Persekutuan – 4.00 Petang
Final Wanita (21 Ogos 2026)
Selangor lawan Wilayah Persekutuan – 8.00 Malam
Tempat Ke-3/4 Wanita
Pahang lawan Pulau Pinang – 4.00 Petang