Selangor dan Johor seperti dijangka menepati ramalan untuk mara ke peringkat separuh akhir futsal lelaki SUKMA 2026 yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Shah Alam.

Kemaraan dua pasukan pilihan itu turut diiringi Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang untuk melengkapkan empat pasukan yang bakal beraksi di separuh akhir.

Selangor terlebih dahulu mengesahkan kemaraan selepas menundukkan Kelantan 3-1 pada aksi yang berlangsung pada 9.00 pagi tadi.

Diperkuatkan dengan kehadiran bintang futsal negara, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan jelas meningkatkan kekuatan Selangor untuk memperagakan aksi bertenaga pada perlawanan ini.

Skuad kendalian Eoh Shao Yao itu membuka tirai jaringan pada minit ke-17 menerusi Muhammad Aidil Zakwan Zaidi hasil rembatan jarak dekat.

Sebaik aksi babak kedua bersambung, Selangor menambah dua gol pantas sumbangan Muhammad Aidil Afiqzam Mohd Nasir (minit ke-22) dan Muhammad Aidil Zaquan Mohd Azman (minit ke-25).

Gol saguhati Kelantan terhasil pada lewat permainan menerusi taktikal ‘Power Play’ yang membias terkena pemain Selangor, Iqbal Hazim Radzi.

Lawan yang bakal dihadapi juara bertahan itu pada petang esok ialah Johor. Skuad kendalian Khairul Amir Hamzah itu mudah menundukkan Melaka 6-0 pada aksi suku akhir ketiga.

Wilayah Persekutuan beraksi cukup cemerlang untuk menundukkan Sabah 7-3 manakala Pulau Pinang pula menewaskan Terengganu 2-1.

Berikut merupakan jadual penuh perlawanan separuh akhir futsal SUKMA 2026:

Separuh Akhir Futsal SUKMA 2026

Lelaki (19 Ogos 2026 – Rabu)

1) Selangor lawan Johor – 2.00 Petang

2) Wilayah Persekutuan lawan Pulau Pinang – 4.00 Petang

Wanita (19 Ogos 2026 – Rabu)

1) Pulau Pinang lawan Wilayah Persekutuan – 9.00 Pagi

2) Selangor lawan Pahang – 11.00 Pagi