Saban tahun, semakin ramai penjawat awam terjerat dengan hutang sehingga menyebabkan mereka diisytihar muflis.
Dalam satu laporan Bernama, Jabatan Insolvensi menyatakan kira-kira 10 hingga 13 peratus daripada kes kebankrapan baharu yang didaftarkan dalam tempoh empat tahun lalu membabitkan golongan kerja tersebut.
Baca Juga:
- 10 Hingga 30 Peratus Penjawat Awam Bankrap Sejak 2021
- ‘Gaji RM2,800 Beli Civic’ – Peguam Dedah Ini Antara Punca Orang Muda Muflis Awal
- Pakar Dakwa Orang Muda Di Malaysia Ramai Muflis Kerana Gaya Hidup ‘Biar Papa, Asal Bergaya’
Menurut Ketua Pengarahnya Datuk M Bakri Abd Majid, sesetengah kes yang melibatkan penjawat awam sendiri telah memohon diisytiharkan muflis bagi mengurangkan tekanan hutang yang ditanggung sejak sekian lama.
Hasil dapatan pakar mendapati penjawat awam jatuh muflis berpunca daripada keinginan untuk mengikut trend semasa dan bergaya. Bagaimanapun berlaku kekangan ‘gaji’ yang seterusnya mendorong mereka berhutang.
Memetik laporan itu lagi, Data Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendapati penggunaan kad kredit adalah antara penyumbang utama kebanyakkan kes muflis.
Sementara pakar kewangan Islam dan kewangan Islam korporat Norasikin Salikin berkata mereka yang mudah terjebak dalam masalah ini ialah orang muda yang baru memasuki alam pekerjaan.
Manakala pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia berkata pekerja muda ini sering diuar-uar akan kepentingan kemudahan kewangan tersebut oleh institusi kewangan.
“Mereka yang baru mengenal atau baru memiliki kad kredit lazimnya sukar mengawal perbelanjaan, dan akhirnya penggunaan (kad kredit) itu akan mencapai had maksimum,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.
Lebih memburukkan keadaan, apabila gagal membayar kad kredit, mereka akan membuat pinjaman peribadi untuk melangsaikannya.
Dalam masa sama terdapat penjawat awam yang membuat pembiayaan bertindih (overlap) bagi menyelesaikan pinjaman peribadi terdahulu.
Lalu berdepan masalah kebankrapan apabila tidak mampu membayar kesemua pinjaman dibuat.