Aksi pembukaan saingan Divisyen 1 Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 berlangsung pada Sabtu dan Ahad lalu menyaksikan banyak cerita menarik walaupun hanya melibatkan empat perlawanan sahaja.

Dengan empat perlawanan berlangsung berikutan hanya lapan pasukan terlibat dalam Divisyen 1, 31 jaringan berjaya dihasilkan pada minggu pertama.

Baca Juga:

Yang paling mencuri tumpuan pastinya pertemuan melibatkan Shah Alam City menentang juara berganda musim lalu, Pahang Rangers.

Shah Alam City hampir melakar kejutan apabila berkelebihan dua jaringan ketika aksi hanya berbaki dua minit untuk ditamatkan.

Namun, skuad kendalian Gerard Casas Ullestre itu menyerap tekanan dengan baik untuk memastikan satu mata dibawa pulang ke Kuantan dengan keputusan penuh berkesudahan 6-6.

Dalam satu lagi yang berlangsung pada Sabtu lalu, skuad himpunan bintang, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk menundukkan Gombak TOT United 6-1 di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam.

Sementara itu, Terengganu yang menjadi satu-satunya pasukan dengan 100 peratus pemain tempatan membuktikan kemampuan hebat mereka dengan menundukkan KL City 6-1 pada aksi di Kuala Terengganu.

Difahamkan skuad kendalian Mohd Rozairi Ahmad itu juga membariskan 10 pemain muda sebagai persiapan buat Terengganu menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Kuching pada Ogos nanti.

Satu-satunya perlawanan yang berlangsung semalam turut menyaksikan kejutan apabila Sabah beraksi dengan cemerlang untuk menewaskan juara dua kali, Selangor 3-2.

Statistik ringkas tamat perlawanan minggu pertama MPFL 2024:

1) Dua pemain tempatan iaitu Muhammad Saad Abdul Sani (JDT) dan Ahmad Harith Na’im Mohd Nasir dari Pahang Rangers berjaya meledakkan hatrik.

2) Lima pemain menjaringkan dua gol dimana empat daripadanya merupakan pemain tempatan iaitu Muhammad Azri Rahman (JDT), Muhammad Farhan Khairul Anuar dan Zainal Abidin Hamzah (Shah Alam City) dan Hafizi Ismail dari Terengganu.

Seorang lagi penjaring dua gol ialah pemain import Sabah dari Brazil, Filipe Da Silva Leite.

3) Daripada 31 gol keseluruhan pada minggu pertama, 17 daripadanya merupakan penjaring tempatan dan lima orang pemain import.

4) Tiga pemain dilayangkan kad merah iaitu Mohd Faisal Saharudin dan Muhammad Syafiq Hamzah dari Gombak TOT United serta pemain Terengganu, Syed Shahrul Niezam Syed Abdul Rahim.

Mohd Faisal dan Syed Shahrul Niezam merupakan kapten bagi pasukan masing-masing.

5) Satu-satunya gol yang terhasil menerusi ‘Sepakan Penalti Kedua (Second Spot)’ dijaringkan oleh pemain import KL City, Eom Jiyong.

6) Apa jua keputusan yang dicatatkan, semua pasukan berjaya menjaringkan gol pada perlawanan sulung mereka.