Malaysia mara ke final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 selepas berjaya menundukkan Jepun 3-1 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Setia City Convention Center, Shah Alam sebentar tadi.

Kemenangan penting ke atas Jepun dihadapan ribuan penyokong sendiri itu menyaksikan Malaysia berada di landasan terbaik untuk mengulangi kejayaan muncul juara pada edisi 2022.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Skuad negara bermula dengan baik apabila perseorangan pertama, Lee Zii Jia tampil bertenaga untuk menewaskan Kenta Nishimoto menerusi kemenangan ‘straight set’ 21-18, 21-15.

Ia merupakan kemenangan ketujuh dilakarkan Zii Jia terhadap lawan yang berada di ranking ke-12 dunia itu dalam 10 pertemuan sepanjang karier mereka.

Kecemerlangan Zii Jia diteruskan Aaron Chia-Soh Wooi Yik walaupun bekas juara dunia itu terpaksa beraksi hingga ke set ketiga untuk menang 15-21, 21-17, 21-10 ke atas Akira Koga-Taichi Saito.

Ketika harapan disandarkan buat Leong Jun Hao untuk menghadiahkan mata kemenangan, beliau gagal melakukannya selepas tewas kepada Koki Watanabe.

Menang set pertama 21-19, Jun Hao kemudiannya tewas 12-21 untuk aksi berlanjutan ke set penentuan.

Kebangkitan cuba dilakukannya hingga berjaya mengikat kembali kedudukan 19-19 bagaimanapun tidak cukup untuk menghalang kemenangan Watanabe bagi menghidupkan kembali peluang buat Jepun.

Mata yang dinantikan para peminat setia badminton negara hadir menerusi kemenangan pasangan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani ke atas Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura 21-14, 21-19 untuk membawa Malaysia ke final buat tiga edisi berturut-turut.

Menanti Malaysia di final yang dijadualkan berlangsung jam 4.00 petang esok ialah pemenang satu lagi separuh akhir antara China dan Korea Selatan.