Malaysia terpaksa berpuas hati selaku naib juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 selepas tewas 0-3 kepada China pada aksi final yang berlangsung di Setia City Convention Center, Shah Alam sebentar tadi.

Kekalahan yang gagal untuk mengulangi pencapaian selaku juara pada edisi 2022.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Kecederaan yang dialami Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong memaksa Leong Jun Hao terpaksa diletakkan sebagai pemain perseorangan pertama.

Manakala pemain muda, Eogene Ewe pula perlu menggalas tugas yang cukup berat sebagai pemain perseorangan kedua.

Meskipun tewas kepada Weng Hong Yang, tetapi Jun Hao mempamerkan corak permainan melawan yang nyata memberikan kesukaran buat pemain di ranking ke-16 dunia itu.

Ia jelas dibuktikan apabila anak kelahiran Kuala Lumpur itu tewas 19-21, 17-21 untuk mata pertama buat China.

Satu keadaan yang tidak disangka-sangka berlaku dalam beregu lelaki dimana Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada pasangan ranking ke-90 dunia, Xie Hao Nan-Zheng Wei Han

Tewas 16-21 pada set pertama, bekas juara dunia itu kembali bangkit dengan kemenangan 21-16 bagi mengheret aksi ke set ketiga.

Gagal menyerap tekanan yang disandarkan, Aaron dan Wooi Yik keluar dari gelanggang dengan kekecewaan apabila tewas 21-13.

Mata kemenangan China dihadiahkan Lei Lan Xi yang tidak terlalu berdepan masalah untuk menundukkan Eogene 21-10, 21-14.

Ia jelas merupakan pengalaman cukup berharga buat Eogene yang kini berada di ranking ke-298 dunia.

Sementara itu bagi kategori wanita, India mencipta sensasi apabila berjaya menewaskan Thailand 3-2 pada aksi yang berlangsung di sebelah tengah hari.