Ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Patrick Kluivert mengakui usaha untuk menjadikan Jairo Riedewald sebagai Warga Negara Indonesia (WNI) akan dilakukan secepat mungkin.
Berusia 28 tahun, Riedewald mempunyai reputasi hebat apabila pernah beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Crystal Palace selama tujuh musim.
Baca Juga:
- Indonesia Buru Naturalisasi Berkualiti, Penyerang FC Utrecht Jadi Sasaran
- Fasih Berbahasa Indonesia Antara Faktor Bekas Pemain Wigan Ini Dilantik Pembantu Kluivert
- Senarai ‘Track Record’ Buruk Patrick Kluivert
Beliau kemudiannya memilih untuk berhijrah ke Royal Antwerp pada jendela perpindahan musim panas lalu.
Sebelum itu, pemain yang beraksi di posisi pertahanan dan tengah bertahan tersebut pernah menyarung jersi Ajax.
Difahamkan, Riedewald mempunyai darah Indonesia daripada sebelah ibunya.
“[Untuk nama-nama seterusnya dalam senarai naturalisasi] saya tidak tahu, silakan tanya ketua [PSSI]. Tapi saya boleh beritahu satu nama iaitu Jairo Riedewald yang akan dinaturalisasi secepat mungkin,” ujar Kluivert menurut sumber laporan CNN Indonesia.
“Kami ingin mempunyai tujuan yang sama, pemain kacukan atau tempatan harus bermain sebagai satu pasukan. Semua pemain [kacukan atau tempatan] boleh menjadi ‘jantung’ dalam pasukan.”
“Siapa pun adalah bahagian penting dalam pasukan ini,” tambah Patrick Kluivert lagi.
Dalam perkembangan sama menurut sumber laporan Merah Putih, Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir turut mengakui perkara tersebut termasuk berhubung usaha menyelesaikan proses melibatkan Ole Romeny (Oxford United).
“Ole (Romeny) Insyaallah surat-menyuratnya sudah lebih maju (perkembangan baik). Kita juga sedang mendekati Jairo untuk bergabung dengan skuad kebangsaan.”