Bekas penyerang Manchester United, Dimitar Berbatov memberi kritikan pedas terhadap Anthony dengan mengatakan pemain itu sentiasa membuat perkara bodoh dan trik yang tidak mendatangkan faedah terhadap pasukan.

Setakat 11 perlawanan musim ini, Anthony masih belum menyumbang sebarang gol mahupun bantuan jaringan selain terpalit dengan isu luar padang yang mana beliau didakwa memukul bekas kekasihnya dan sedang berada dalam siasatan polis.

Baca Juga:

Dimitar Berbatov yang pernah memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama United memberi nasihat kepada Anthony dimana beliau berkata pemain itu tidak perlu memberi kesukaran buat diri sendiri dan bermain bola dengan lebih simple.

Dimitar Berbatov Anthony
Action Images via Reuters/Lee Smith

“Erik ten Hag suka dengan Anthony. Semua orang tahu kerana mereka berdua pernah bekerjasama ketika di Ajax Amsterdam. Sudah pasti setiap pengurus mempunyai pemain kegemaran mereka.

“Ten Hag meletakkan kepercayaan terhadap beliau. Anthony perlu sedar dengan perkara ini dan menampilkan prestasi yang baik di atas padang untuk tidak mengecewakan pengurus dan juga rakan sepasukan.

“Akan tetapi, ketika ini serba tidak menjadi bagi Anthony. Nasihat saya, bermain dengan mudah dan jangan memberi kesukaran terhadap diri sendiri. Apabila anda mula berfikir yang anda seolah-olah Zinedine Zidane atau Ronaldiho ketika bergelut dengan prestasi, maka itu akan memberi lebih kesukaran terhadap diri sendiri. Jangan buat perkara bodoh yang tidak menyumbang kepada pasukan,” katanya.

Baru-baru ini, United tewas kepada FC Copenhagen dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan keputusan 4-3 sekaligus menyebabkan mereka kini menghuni tangga tercorot dalam kumpulan A.

Lebih malang, salah seorang pemain sayap iaitu Marcus Rashford dibuang pada pada penghujung separuh masa pertama setelah melakukan terjahan keras terhadap pemain pertahanan lawan iaitu Elias Jelert.