Pemain pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools mencuri tumpuan peminat bola sepak asia apabila terlibat dalam insiden pergaduhan selepas tamat perlawanan AFC Champions League (ACL) semalam.

Kelabnya, Buriram United mengalami kekalahan ketiga mereka dalam saingan ACL musim ini apabila tewas 2-3 kepada jaguh China, Zhejiang FC semalam.

Baca Juga:

Namun, perlawanan tersebut berakhir dengan insiden pergaduhan melibatkan pemain daripada kedua-dua pasukan di tengah padang sehingga memaksa barisan jurulatih serta pasukan keselamatan masuk campur meleraikannya.

Menerusi satu video yang tular di media sosial, kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila terdapat pertengkaran mulut antara pemain Buriram United, Theerathon Bunmathan dengan pemain simpanan Zhejiang FC.

Dion Cools cuba menghalang pertengkaran tersebut namun situasi menjadi lebih buruk apabila pemain Zhejiang hilang sabar membuatkan pemain lain bertindak menyerbu sekaligus memukul penyerang import Buriram United, Ramil Sheydayev.

Pertelingkahan sekali lagi bertambah kecoh apabila Dion Cools terlibat ketika dia menarik pemain Zhejiang FC supaya tidak masuk campur.

Bagaimanapun, tindakan Cools tidak disenangi oleh beberapa pemain Zhejiang yang lain namun beliau sempat diselamatkan oleh barisan jurulatih.

Keadaan kembali tenang apabila pihak keselamatan stadium hadir meleraikan situasi lalu mengiringi para pemain daripada kedua-dua pasukan ke dalam bilik persalinan masing-masing.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai insiden tersebut dan kedua-dua pasukan bakal berdepan hukuman berat.

Diharapkan hukuman tersebut tidak menjejaskan peluang Dion Cools untuk mewakili negara beraksi dalam saingan Piala Asia 2023 yang berlangsung pada januari tahun depan di Qatar.