Kapten skuad Harimau Malaya, Dion Cools mungkin kembali semula ke eropah apabila dua kelab Belgium dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain itu.

Cools kini beraksi bersama kelab Thailand, Buriram United dan kontraknya akan tamat pada 30 Jun 2024 menurut laman transfermarkt.

Baca Juga:

Sejak menyertai Buriram United pada 2022, beliau telah menempa pelbagai kejayaan termasuk meraih gelaran ‘treble’ pada musim lepas. Musim ini, beliau turut membantu kelab itu menjuarai Liga Thailand buat kali kedua berturut-turut.

Beliau juga kerap diturunkan dalam kesebelasan utama setiap perlawanan. Selain memenangi trofi, Cools juga tersenarai dalam kesebelasan terbaik liga musim lepas bersama beberapa pemain kebangsaan Thailand seperti Theerathon Bunmathan, Supachai Jaided dan Suphanat Mueanta.

Cools turut beraksi dalam saingan AFC Champions League (ACL) dan menyertai skuad Harimau Malaya untuk kempen Piala Asia di Qatar bulan Januari lepas.

Prestasi cemerlang beliau itu dilaporkan telah menarik minat dua kelab divisyen utama Belgium iaitu Cercle Brugge dan OH Leuven menurut pendedahan daripada laman frfuturetalents.

Cercle Brugge memerlukan khidmat Cools bagi memperkuatkan benteng pertahanan pasukan menghadapi saingan UEFA Europa League musim depan.

Manakala OH Leuven merupakan pasukan lama Dion Cools sebelum beliau menyertai kelab terkemuka Belgium, Club Brugge dan kelab Denmark, Midtjylland.

Pemain yang berusia 27 tahun itu memiliki pengalaman luas dalam bola sepak eropah kerana pernah menyertai kelab Republik Czech, FK Jablonec sebelum berhijrah ke Thailand.

Kemanakah destinasi Dion Cools selepas ini? Ianya akan ditentukan selepas beliau selesai tugasan bersama skuad Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 pada bulan Jun ini.