Semalam peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita enam kelab Liga Malaysia menerima hukuman larangan pendaftaran pemain baharu dan sekatan perpindahan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Dua pasukan yang bersaing dalam Liga Super musim 2024-2025 turut terlibat iaitu Kuala Lumpur City (KL City) dan Kedah Darul Aman (KDA FC).
Baca Juga:
- Risiko Sewa Rumah, Ini Sebab Mengapa Pentingnya Ambil Deposit Daripada Penyewa
- ‘Pandai Urus Duit Baru Boleh Guna’ – Ini Nasihat Penasihat Kewangan Sebelum Anda Mohon Kad Kredit
- ‘Gaji RM2,800 Beli Civic’ – Peguam Dedah Ini Antara Punca Orang Muda Muflis Awal
Hukuman ini dikenakan kerana kegagalan mereka melunaskan tunggakan gaji pemain selama beberapa bulan sejak tahun lepas.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard mengesahkan hukuman yang dikenakan ke atas pasukannya telah ditarik balik selepas menerima surat rasmi daripada FIFA.
“KL City FC sudah lunaskan (hutang bekas pemain) pada 27 Mac, jadi KL City FC sudah dibebaskan daripada sekatan pendaftaran pemain,” kata Stanley dipetik dalam Berita Harian.
🚨KL City bebas daripada Transfer Ban. FAM sudah menerima pengesahan daripada FIFA mengenai penarikan balik perintah larangan pendaftaran pemain terhadap kelab berkenaan seiring dengan komitmen kelab yang sudah 'clear payment' pada 26 Mac 2024.✔️@ASTROARENA pic.twitter.com/YRKdr1ZyIE
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) April 3, 2024
Ini bermakna pemain baharu ditandatangani oleh KL City dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Malaysia yang akan bermula pada bulan Mei nanti.
Selain KDA FC dan KL City, empat lagi kelab yang dihukum FIFA ialah TRW Kelantan, Melaka United, Perlis dan Sarawak United.
Jumlah ini menyaksikan kelab dari Liga Malaysia paling banyak di Asia Tenggara yang menerima hukuman FIFA berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.
Namun begitu, nasib KDA FC masih belum diketahui dan difahamkan mereka dalam proses dalam melangsaikan semua baki tunggakan gaji pemain.
Menurut data rasmi di laman sesawang FIFA, larangan pendaftaran pemain baharu yang dikenakan ke atas KDA FC bermula pada tarikh 4 Mac 2024.
KDA FC perlu melunaskan segera semua baki tunggakan gaji sebelum tarikh tutup jendela perpindahan Liga Malaysia (3 Mei 2024) untuk mendapatkan kebenaran FIFA mendaftar pemain baharu pada musim 2024-2025.