Aksi perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu (TFC) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada malam esok mungkin hambar disebabkan oleh keadaan padang yang tidak memuaskan.

Sejak semalam, para peminat bola sepak tempatan sudah mula menghamburkan kecaman dan pelbagai kritikan terhadap Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) apabila keadaan padang yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia itu dilihat masih rosak serta tidak bersedia.

Baca Juga:

Malah, gambar terkini keadaan padang SNBJ dalam tempoh 24 jam sebelum sepak mula kini tular di media sosial sekaligus mengundang kebimbangan mengenai kelancaran perlawanan.

Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) sempat ‘menyindir’ pengurusan PSM apabila mendakwa formula Pengerusi, Datuk Hans Isaac agak ‘menjadi’.

“Standard yang baik untuk perlawanan akhir Piala Malaysia. Nampaknya formula anda menjadi Hans Isaac,” tulis TMJ.

Para peminat percaya padang tersebut rosak teruk dan kekurangan rumput di bahagian tengah akibat ‘dihenyak’ oleh penganjuran konsert minggu lalu.

Sudah terlambat jika Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mahu menukar venue perlawanan itu biarpun permukaan padang kini bertaraf kampung.

Bagaimanapun, risiko kecederaan menanti pemain JDT dan Terengganu akibat permukaan padang yang tidak rata sehingga menjejaskan corak permainan mereka.

Padang tersebut pernah dikritik apabila ada bahagian yang tercabut ketika aksi Harimau Malaya menentang India dan Tajikistan dalam kejohanan Pestabola Merdeka 2023 yang berlangsung bulan lalu.

Namun, keadaan padang kembali ke tahap terbaik pada aksi pertama kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang menyaksikan Malaysia mempamerkan kebangkitan sekaligus berjaya menumbangkan Krygyzstan 4-3.