Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan kebangkitan cukup baik untuk menamatkan saingan Grand Prix (GP) Austria di tempat kesembilan sekali gus menambah tujuh mata berharga di Litar Red Bull Ring, Spielberg petang semalam.
Keputusan itu membolehkan pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi terbabit melonjak satu anak tangga ke kedudukan ketujuh keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3 dengan mengumpul 101 mata.

Hakim Danish Terus Pamer Kebangkitan
Pada perlumbaan itu, Hakim Danish yang bermula dari petak ke-15 melakukan permulaan cukup positif apabila pantas memperbaiki kedudukan pada pusingan awal perlumbaan.
Berdasarkan data rasmi perlumbaan, pelumba berusia 19 tahun itu melepasi pusingan pertama di kedudukan ke-14 sebelum melonjak ke tangga ke-12 pada pusingan kedua, ke-11 pada pusingan ketiga dan menembusi kelompok sembilan terbaik pada pusingan keempat.
Bagaimanapun, rentak Hakim Danish sedikit terjejas di pertengahan perlumbaan apabila melakukan beberapa kesilapan ketika bekerja keras untuk mendapatkan posisi lebih baik. Tindakan tersebut menyebabkan kedudukannya kembali merosot dan berada di tangga ke-14 pada pusingan ke-15.
Hakim Danish enggan mengalah dan mengatur semula rentaknya sebelum berjaya bangkit semula pada penghujung perlumbaan apabila kembali memperbaiki kedudukan kepada P12 pada pusingan ke-17 dan P11 pada pusingan ke-19 sebelum melintasi garisan penamat di tempat kesembilan.
“Bagi perlumbaan hari ini [semalam], saya berjaya menamatkan saingan di tempat ke-9 selepas bermula dari petak ke-15. Pada awal perlumbaan, saya melakukan permulaan yang baik dan cuba memacu jentera semaksimum mungkin sehingga berjaya memperbaiki beberapa kedudukan.”
“Bagaimanapun, pada pertengahan saingan tadi, saya agak bergelut kerana terlalu memaksa jentera hingga melakukan kesilapan yang menyebabkan saya ketinggalan semula ke belakang.”
“Menjelang penghujung perlumbaan, saya berusaha untuk bangkit semula dan memecut bagi memintas beberapa pelumba di hadapan saya. Keserasian saya dengan jentera juga bertambah baik. Terima kasih kepada pasukan yang bekerja keras sepanjang minggu ini.”
“Saya amat teruja untuk menghadapi perlumbaan seterusnya di Asia, khususnya di Jepun, dan bertekad untuk mencatatkan keputusan yang lebih cemerlang. Terima kasih atas sokongan berterusan semua pihak,” ujar Hakim Danish.

Perlumbaan di Austria dimenangi pendahulu kejuaraan daripada CFMOTO Gaviota Aspar Team, Maximo Quiles, dengan catatan 33 minit 24.323 saat (s), diikuti Brian Uriarte (Red Bull KTM Ajo) di tempat kedua dengan 33:26.657s, manakala rakan sepasukannya, Alvaro Carpe, melengkapkan podium di tempat ketiga dengan 33:31.717s.
Kejuaraan Dunia Moto3 selepas ini membuka tirai pusingan Asia dengan GP Jepun di Mobility Resort Motegi dari 2 hingga 4 Oktober, disusuli GP Indonesia, GP Australia dan kemuncaknya GP Malaysia.