Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli beranggapan pengalamannya pernah berlumba di Litar Red Bull Ring sedikit membantu dirinya untuk menghadapi Grand Prix (GP) Austria pada hujung minggu ini.

Dalam pada itu, anak kelahiran Kuala Terengganu tersebut bertekad untuk mengekalkan momentum kebangkitan di GP San Marino pada minggu lalu bagi memburu keputusan lebih cemerlang.

GP Austria: Hakim Danish Tak Mahu Ulangi Kesilapan Penalti Grid, Intai Kelompok Hadapan
Kredit Foto: ZK Racing

Hakim Danish yang bersama pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi turut mahu memastikan kesilapan penalti grid yang dilalui di Misano tidak berulang sekali gus mengintai peluang untuk memulakan perlumbaan dari kelompok hadapan.

Hakim Danish Buru Kelompok Hadapan

“Saya rasa pengalaman beraksi di Red Bull Ring sebelum ini banyak membantu kerana saya sudah mempunyai gambaran mengenai karakter litar dan perkara yang perlu diberi perhatian.”

“Bagaimanapun, situasi kali ini berbeza kerana kami beraksi dalam Kejuaraan Dunia Moto3 dan perlumbaan juga sengit. Jadi, saya perlu menyesuaikan diri dengan jentera serta keadaan perlumbaan semasa.”

“Apapun, selepas perlumbaan di Misano, saya rasa lebih yakin dan keserasian dengan jentera juga semakin baik. Jadi, saya mahu membawa momentum itu ke Austria dan cuba mendapatkan persediaan yang lebih baik sejak sesi latihan bebas.”

Hakim Danish
Kredit Foto: ZK Racing

“Fokus utama saya adalah untuk mengharungi setiap sesi dengan konsisten, mengelakkan kesilapan yang boleh menjejaskan kedudukan grid dan mendapatkan kedudukan permulaan yang baik.”

“Saya akan cuba memberikan yang terbaik dalam perlumbaan nanti dan mengutip sebanyak mungkin mata untuk membantu saya memperbaiki kedudukan dalam kejuaraan,” tambah Hakim Danish lagi.