Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli meneruskan momentum positif dalam musim sulungnya di Kejuaraan Dunia Moto3 2026 selepas menamatkan Grand Prix Aragon pada petang semalam di tempat ke-12.
Memulakan perlumbaan dari petak ke-13, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu bermula dengan agresif dan berjaya memperbaiki kedudukan pada peringkat awal perlumbaan untuk berada dalam kelompok 10 terbaik.

Hakim Danish bagaimanapun berdepan persaingan yang sangat sengit apabila perlumbaan memasuki fasa akhir. Selepas cuba mengekalkan rentak dan terus bersaing dengan kelompok hadapan, beliau akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat ke-12.
Dalam perlumbaan yang berlangsung selama 17 pusingan itu, Hakim Danish mencatat masa 33 minit 29.762 saat, ketinggalan 14.284 saat daripada pemenang perlumbaan, Maximo Quiles daripada CFMOTO Valres Aspar Team.
Tambahan 4 Mata Buat Hakim Danish
Keputusan tersebut memberikan Hakim Danish tambahan empat mata sekali gus meletakkannya di kedudukan kelapan keseluruhan dengan 90 mata.
Dalam persaingan Rookie of the Year, anak kelahiran Kuala Terengganu ini turut kekal di tempat ketiga dengan 90 mata. Beliau kini hanya tujuh mata di belakang Veda Pratama yang berada di tempat kedua dengan 97 mata, manakala Brian Uriarte terus menerajui kedudukan rookie dengan 138 mata.

Dengan baki saingan musim yang masih panjang, Hakim dan pasukan akan terus bekerja keras untuk memperbaiki prestasi serta mencari peluang bagi merapatkan jurang dalam persaingan rookie.
Fokus kini beralih kepada pusingan seterusnya, Grand Prix San Marino, yang akan berlangsung di Litar Dunia Marco Simoncelli, Misano dari 11 hingga 13 September 2026.