Hakim Danish Ramli mempamerkan semangat juang luar biasa apabila bangkit daripada petak ke-16 untuk menamatkan perlumbaan di Grand Prix (GP) Belanda di kedudukan ketujuh, semalam.
Pelumba berusia 18 tahun itu dinaikkan daripada tempat ke-10 susulan beberapa pelumba di hadapan dikenakan penalti, sekali gus mengutip sembilan mata penting dalam kempen Kejuaraan Dunia Moto3 di Litar TT Assen.
Hasil keputusan itu membolehkan Hakim Danish mengumpul keseluruhan 82 mata untuk melonjak ke tangga keenam keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3, sekali gus berkongsi mata dengan Veda Pratama.

Dalam perebutan gelaran Rookie of the Year, Hakim Danish turut mengukuhkan kedudukan di tangga kedua dengan 82 mata dan turut berkongsi mata dengan Pratama, hanya 20 mata di belakang pendahulu dari Sepanyol, Brian Uriarte.
Perlumbaan di Assen dimenangi pelumba CFMOTO Gaviota Aspar Team, Maximo Quiles, diikuti David Almansa di tempat kedua, manakala Marco Morelli melengkapkan kedudukan podium. Selepas ini, Hakim Danish akan memberi tumpuan menjelang Grand Prix (GP) Jerman yang akan berlangsung pada 12 Julai nanti.
Litar Assen Bagi Pengajaran Buat Hakim Danish
“Saya berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh hari ini [semalam]. Perlumbaan kali ini memang sangat mencabar kerana saya terpaksa memberikan tekanan maksimum pada setiap pusingan sehingga ke garisan penamat.”
“Saya melakukan permulaan yang baik dan cuba memotong seorang demi seorang pelumba untuk berada dalam kelompok hadapan.Saya juga cuba mengejar Maximo Quiles dan David Almansa, namun rentak mereka lebih pantas berbanding saya.”
“Dalam lima pusingan terakhir, saya mula berdepan masalah dengan tayar belakang. Saya cuba mempertahankan kedudukan dan terus bersaing untuk merebut podium, tetapi malangnya tidak berjaya.”
“Saya akan jadikan perlumbaan ini sebagai pengalaman untuk terus belajar dan memperbaiki kelemahan. Saya mahu membawa segala pengajaran yang diperoleh hari ini ke perlumbaan seterusnya.”

“Secara keseluruhannya, saya gembira dengan prestasi yang dipamerkan hari ini dan kini tidak sabar untuk terus menghadapi perlumbaan seterusnya di Sachsenring.”
“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penaja, khususnya AEON Credit Service Malaysia, pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi, keluarga dan para penyokong yang sentiasa percaya dan berdiri di belakang saya.”
“Saya akan terus bekerja keras, memberikan yang terbaik dalam setiap perlumbaan dan meneruskan usaha mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” ujar Hakim Danish lagi.