Pelumba negara, Hakim Danish Ramli menambah sembilan mata lagi dalam saingan Moto3 selepas menamatkan perlumbaan Grand Prix Belanda di kedudukan ketujuh sebentar tadi.

Bermula dari petak ke-16, pelumba pasukan AEON Credit-MSI itu sekali lagi mempamerkan tunggangan bertenaga apabila berjaya memintas beberapa pencabar untuk berada dalam kelompok hadapan seawal perlumbaan.

Pelumba berusia 18 tahun itu kemudiannya bersaing sengit dalam kelompok utama sehingga berbaki tiga pusingan terakhir.

Bagaimanapun, beliau gagal mengekalkan rentaknya berkemungkinan besar disebabkan cengkaman tayar yang semakin ‘haus’ dan akhirnya melintasi garisan penamat di kedudukan ke-10.

Namun rezeki jelas memihak beliau selepas beberapa pelumba di hadapannya dikenakan penalti selepas perlumbaan, sekali gus membolehkan Hakim Danish dinaikkan ke kedudukan ketujuh dalam keputusan rasmi.

Hakim Danish Konsisten Raih Mata

Meskipun gagal menaiki podium, prestasi yang dipamerkan terus membuktikan kemampuan Hakim Danish untuk bersaing dengan barisan pelumba terbaik dunia walaupun memulakan perlumbaan dari petak belakang.

Keputusan itu menyaksikan Hakim melonjak satu anak tangga ke kedudukan keenam keseluruhan dalam carta kejuaraan dunia Moto3.

Hakim kini mengumpul 82 mata, berkongsi jumlah yang sama dengan pelumba Indonesia, Veda Pratama, manakala kedua-duanya hanya dibezakan oleh kedudukan keseluruhan. Mereka kini ketinggalan 30 mata di belakang Brian Uriarte dan Marco Morelli yang berada di kelompok teratas saingan.