Selepas mencipta kejayaan membanggakan di Litar Brno, pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli enggan hanyut dibuai kegembiraan apabila sudah mengalihkan sepenuhnya fokus kepada saingan Grand Prix (GP) Belanda yang akan berlangsung di Assen hujung minggu ini.
Pelumba berusia 18 tahun itu mengakui kemenangan yang diraih sebelum ini memberikan suntikan keyakinan, namun menegaskan setiap perlumbaan memerlukan pendekatan berbeza dan persiapan baharu.
Menurut Hakim Danish, beliau perlu ‘menekan butang reset’ dan kembali memberi tumpuan penuh terhadap persiapan bagi menghadapi cabaran di Litar Assen yang terkenal dengan selekoh berkelajuan tinggi serta susun atur teknikal.

Hakim Danish Segera Lupakan Kejayaan Di Brno
“Saya gembira dengan keputusan yang dicapai di Brno, tetapi kemenangan itu sudah berlalu dan saya perlu menekan butang reset semula untuk melakukan persiapan ke Assen,” ujar Hakim Danish.
“Kini fokus saya sepenuhnya terarah kepada perlumbaan di Assen hujung minggu ini. Saya perlu menetapkan semula fokus dan memastikan saya bersedia dari semua aspek.
“Di Assen, saya perlu melakukan perkara yang sama seperti di Brno, iaitu mendapatkan rentak seawal sesi FP1. Saya perlu mencari kelajuan sejak awal dan memahami karakter litar serta jentera dengan cepat.”
“Saya akan berusaha menyesuaikan diri dengan jentera secepat mungkin supaya dapat membina keyakinan yang diperlukan untuk menghadapi hujung minggu perlumbaan ini. Sasaran saya adalah untuk memberikan yang terbaik dalam setiap sesi.”

“Assen merupakan litar yang agak mencabar kerana mempunyai banyak selekoh berkelajuan tinggi selain bersifat teknikal. Namun, saya akan cuba memanfaatkan setiap sesi dengan sebaik mungkin dan memberikan 100 peratus usaha sepanjang hujung minggu ini.”
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan, penaja, terutamanya AEON Credit Service Malaysia yang memberi kepercayaan besar kepada saya dan semua penyokong yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya.”
Dengan momentum positif yang dibawa dari Brno, Hakim Danish pastinya berharap dapat meneruskan prestasi cemerlangnya di Assen sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam saingan musim ini.