Saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2026 akan sekali lagi berwajah baharu dengan pengenalan format berbeza berbanding penganjuran sebelum ini.

Hal ini kerana tiada lagi saingan ‘Home Away’ dapat disaksikan apabila pasukan bertanding akan beraksi secara karnival (berpusat) dengan keseluruhan sembilan sirkit.

Daripada sembilan sirkit tersebut, Shah Alam akan menjadi tuan rumah bagi empat sirkit, Pasir Gudang dengan tiga sirkit manakala Kuantan menganjurkan dua sirkit.

Ini Perubahan Format Dalam MPFL 2026 & Senarai Pasukan Bertanding
Kredit Foto: FAM

Saingan musim ini menyaksikan sembilan pasukan mengambil bahagian dimana Sabah terpaksa menarik diri daripada persaingan.

Juara liga dua musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal kembali dengan misi untuk mengekalkan kejuaraan tetapi Selangor pasti tidak mahu membiarkan ia menjadi kenyataan.

Skuad kendalian Edgar Eder Baldsso itu bakal diperkuatkan dengan pemain skuad kebangsaan Brazil, Marlon Oliveira Araujo yang memenangi Piala Dunia Futsal 2024.

Selain dua gergasi tersebut, Pahang Rangers juga kini sedang giat menggandakan kekuatan dibawah kendalian ketua jurulatih baharu dari Sepanyol, Eloy Alonso Fraile.

Ini Perubahan Format Dalam MPFL 2026 & Senarai Pasukan Bertanding
Kredit Foto: FAM

Format Saingan MPFL 2026

Menurut sumber Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), setiap pasukan akan bermain 16 perlawanan dengan format liga dua pusingan.

Pasukan yang menamatkan saingan liga MPFL 2026 di kedudukan dua tempat teratas akan mara automatik ke separuh akhir.

Dua slot lagi bakal ditentukan menerusi playoff antara pasukan tangga ketiga akan bertemu pasukan tangga keenam manakala pasukan tangga keempat menentang pasukan kelima.

Separuh akhir juga memperlihatkan perubahan dengan pasukan perlu menang kedua-dua perlawanan timbal balik untuk layak ke final. Sekiranya hanya menang sekali sahaja, masa tambahan serta seterusnya sepakan penalti akan menentukan pemenang.

Ini bermakna aksi separuh akhir tidak menggunakan kaedah agregat.