Penyerang muda negara, Luqman Hakim telah menetapkan sasaran dari segi jumlah jaringan bersama kelab baharunya iaitu Yokohama SCC bagi menghadapi saingan musim 2024/25.

Menerusi perkongsian Pemain Ke-12 di laman media sosial X, Luqman diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain Yokohama bagi menghadapi saingan divisyen ketiga musim ini.

Baca Juga:

Ketika ditanya mengenai sasarannya bersama pasukan musim ini, pemain pinjaman dari KV Kortrijk itu mahu menjaringkan sekurang-kurangnya 10 gol musim ini.

“Saya harap dapat menjaringkan sebanyak gol yang boleh. Mungkin sepuluh gol,” kata Luqman Hakim.

Tempoh pinjaman pemain itu akan tamat pada Januari 2025 dan beliau akan memakai jersi bernombor 13. Terdapat juga minat daripada kelab divisyen 2 Jepun namun Luqman memilih kelab divisyen 3 untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan.

Pemain berusia 21 tahun itu turut menerima sokongan kewangan daripada KV Kortrijk bagi menampung sebahagian daripada gajinya sepanjang tempoh pinjaman itu.

Sebelum ke Jepun, Luqman menyertai kelab Iceland, Njardvik secara pinjaman selama enam bulan pada 7 Februari tahun lepas dan beliau berjaya mencipta impak positif bersama kelab tersebut.

Beliau menjaringkan beberapa gol dalam saingan liga dan juga Piala Bola Sepak Iceland sepanjang menyarung jersi Njardvik.

Manakala ketika aksi persahabatan, anak kelahiran Kota Bahru itu berjaya menjaringkan gol ketika menentang Reykjavíkur (satu gol) dan Haukar FC (dua gol).

Beliau juga dijangka akan menyertai skuad Malaysia B-23 bagi menghadapi saingan Piala Asia B-23 yang berlangsung di Qatar pada bulan April nanti.