Lambakan pemain warisan atau kacukan Malaysia di luar negara memberikan banyak pilihan untuk membentuk barisan yang mantap dalam skuad Harimau Malaya suatu hari nanti.
Namun, para peminat sentiasa menantikan kehadiran pemain berkualiti di posisi serangan kerana negara kini ketandusan penyerang prolifik untuk bersaing di pentas antarabangsa.
Baca Juga:
- Irfan Bakti Bimbang Harimau Malaya Bertukar Harimau Naturalisasi
- Leandro Velazquez Semakin Hampir Jadi Pemain Naturalisasi Negara
- Isu Naturalisasi: Kim Pan Gon ‘Sekolahkan’ Media Taiwan
Tinjauan Vocket di laman sosial mendapati sekurang-kurangnya terdapat 7 orang pemain kacukan muda di luar negara yang didakwa memiliki pertalian darah dengan Malaysia.
Kebanyakan beraksi sebagai penyerang dan ada antara mereka menjadi tonggak utama kepada kelab masing-masing.
1. Fabian Troost
Pemain yang berusia 17 tahun ini dilahirkan di Amsterdam, Belanda. Beliau dilaporkan memiliki pertalian darah dengan Malaysia menerusi bapanya yang berasal dari Ipoh, Perak.
Troost kini beraksi sebagai penyerang bersama skuad FC Utrecht bawah 18 tahun (B-18) dalam saingan U18 Divisie 1. Beliau turut mengisi posisi sayap kanan dan kiri.
2. Jason Van Duiven
Walaupun dilahirkan di Belanda, Jason dikatakan memiliki pertalian darah dengan Malaysia menerusi neneknya. Pemain yang berusia 18 tahun ini adalah produk akademi PSV Eindhoven dan turut dipanggil menyarung jersi skuad Belanda B-19.
Malah, nilai pasaran pemain ini ialah 1 juta euro berdasarkan Transfermarkt dan beliau kini dipinjamkan ke Almere City selepas menyambung kontrak bersama PSV Eindhoven sehingga 2025.
3. Robin Van Duiven
Robin merupakan adik kepada Jason Van Duiven dan turut menyertai skuad PSV Eindhoven bawah 18 tahun (B-18). Selain penyerang, beliau juga mampu beraksi sebagai perancang tengah.
Menariknya, pemain ini dapat peluang buat penampilan sulung dalam saingan Eredivisie bersama skuad utama PSV Eindhoven pada September tahun lepas.
4. Ryan Kirkil
Pemain yang berusia 18 tahun ini mempunyai darah keturunan Malaysia menerusi neneknya walaupun ibu bapa berasal dari Belanda.
Ryan kini beraksi sebagai penyerang bersama kelab CCV Achilles. Memiliki ketinggian 183 cm dan beliau juga mempunyai kebolehan memperdayakan lawan dengan skill geleceknya.
5. Isak Magnusson
Pemain yang berusia 25 tahun ini dilahirkan di sweden namun memiliki pertalian darah dengan Malaysia menerusi datuknya. Beliau juga pernah menyarung jersi skuad Sweden B-20 dan merupakan produk akademi Kalmar FF.
6. Diego Van Oorschot
Pemain yang berusia 18 tahun ini dilahirkan di Overijssel, Belanda dan neneknya berasal dari Malaysia. Produk akademi FC Twente itu kini menyertai skuad utama Heracles Almelo dalam saingan Eredivisie.
Selain penyerang, beliau juga mampu beraksi di posisi sayap kanan dan kiri.
7. Nishan Velupillay
Pemain ini dilaporkan memiliki darah campuran Australia-Malaysia dan beraksi sebagai penyerang bersama kelab Melbourne Victory di liga utama Australia.
Memiliki ketinggian 181 cm, Velupillay juga dipanggil memperkuatkan pasukan B-23 Australia namun masih berpeluang menyarung jersi Harimau Malaya di masa depan dengan syarat tiada cap antarabangsa dengan skuad senior Australia.
Ketika ini, beberapa pemain warisan yang mewakili negara sudah mencapai usia lebih 30 tahun dan tidak mampu lagi beraksi untuk tempoh 10 tahun akan datang.
Oleh itu, beberapa pemain kacukan muda yang berada di luar negara perlu direkrut segera untuk menggantikan tempat pemain berdarah campuran tersebut.