Jamal Musiala mencetuskan kebimbangan selepas rebah di atas padang buat kali kedua dalam tempoh empat hari.
Pemain berusia 23 tahun itu kelihatan terpinga-pinga dan memerlukan rawatan perubatan sebelum dibantu keluar dari padang ketika aksi bertemu Heidenheim.
Keadaan menakutkan yang hampir sama seperti dihadapinya sebelum ini ketika berhadapan dengan RB Leipzig
Menurut sumber laporan Goal, seorang pakar neurologi terkemuka kini tampil menjelaskan potensi keadaaan kesihatan yang menimpa bintang Bayern Munich itu.
Jamal Musiala Masih Boleh Dirawat
Prof. Christoph Kleinschnitz, Ketua Jabatan Neurologi di University Hospital Essen tampil memberikan penjelasan profesional mengenai keadaan itu.
“Dari sudut neurologi, ia berpotensi menjadi sawan epilepsi. Ia mungkin sejenis epilepsi absans kerana gejala seperti tempoh tidak memberi respons dalam jangka masa singkat adalah selari dengan keadaan tersebut,” jelas pakar neurologi berkenaan.
“Bagaimanapun, kita perlu mengetahui semua keputusan pemeriksaan neurologi sebelum membuat penilaian sedemikian.”
“Keadaan ini boleh dirawat dengan baik tetapi memerlukan rawatan jangka panjang. Musiala masih boleh meneruskan kariernya sebagai pemain bola sepak.”
Epilepsi absans ialah sejenis sawan yang menyebabkan seseorang ‘terhenti seketika’ atau hilang respons untuk beberapa saat, biasanya tanpa rebah atau kejang seperti sawan yang biasa kita bayangkan.
Kebimbangan terbaru mengenai kesihatan Musiala hadir ketika pemain itu sedang berusaha membina semula momentum selepas melalui tempoh karier yang tidak menentu akibat masalah kecederaan.
Musiala terlepas sebahagian besar kempen 2025/26 selepas mengalami keretakan tulang betis selain buku lali terkehel dan patah ketika aksi Piala Dunia Kelab menentang Paris Saint-Germain.
Kini, keutamaan Jamal Musiala adalah mengimbangi proses pemulihan daripada kecederaan ortopedik serius tersebut dengan pengurusan keadaan neurologi yang baru didiagnosis.
Bagaimanapun, pakar yakin masalah berkenaan tidak akan menjejaskan kelangsungan karier profesionalnya sekiranya mendapat rawatan jangka panjang yang sewajarnya.