Kapten skuad kebangsaan China, Zhang Linpeng meluahkan kekecewaan beliau dan memutuskan untuk bersara di pentas antarabangsa selepas gagal membantu pasukannya menewaskan Singapura pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 semalam.

China mendahului 2-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Wu Lei pada minit ke 10 dan 45 namun Singapura bangkit menyamakan kedudukan menerusi Faris Ramli dan Jacob Mahler.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Keputusan seri itu dianggap sebagai cukup memalukan dan Linpeng mengakui gagal memimpin pasukannya diatas padang sehingga mencapai kemenangan.

Selepas tamat perlawanan, Linpeng sempat bercakap kepada pihak media dengan keadaan yang penuh emosi.

“Saya sudah fikir lama mengenainya. Saya rasa sudah tiba masanya untuk menamatkan karier bersama skuad kebangsaan.

“Kami tak mampu pun menewaskan Singapura. Ini tidak boleh diterima dan saya anggap ia sebagai memalukan,” katanya seperti dipetik dalam mothership.

Berdasarkan rekod, China gagal mencatat kemenangan dalam 5 perlawanan berturut-turut sejak saingan Piala Asia 2023 di Qatar dan Lin Peng berpendapat pasukannya terlalu banyak masalah.

“Memang ada banyak masalah. Pertama, sebagai kapten, saya gagal mengubah pasukan dan membuatkan penyokong kecewa.

“Kami sudah cuba untuk mengikut setiap arahan jurulatih tetapi terlalu banyak masalah ketika perlawanan dan apabila masalah berlaku, cara kami mengendalikannya tidak dapat saya terima,” jelasnya.

China berpeluang menambah gol ketiga pada separuh masa pertama tetapi sepakan penalti Wu Lei berjaya diselamatkan penjaga gol Singapura, Hassan Sunny, pada minit ke-31.