Gelanggang utama skuad Harimau Malaya, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sekali lagi bakal digunakan sebagai venue untuk konsert artis ternama iaitu Ed Sheeran.

Konsert tersebut akan berlangsung pada 24 Februari ini dan dijangka puluhan ribu pengunjung akan membanjiri SNBJ bagi menyaksikan konsert yang dimaksudkan.

Baca Juga:

Selepas pengalaman buruk ketika konsert Coldplay, peminat bola sepak tanah air sekali lagi melahirkan kerisauan mereka mengenai permukaan padang selepas konsert Ed Sheeran memandangkan skuad Harimau Malaya akan menggunakan gelanggang sama bagi menghadapi saingan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Mac ini.

Pentas bagi konsert tersebut diletakkan di bahagian tengah dan seperti video dan gambar yang beredar di laman media sosial, pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mencabut sebahagian rumput di tengah padang bagi meletakkan asas kepada pentas tersebut.

Stadium Nasional Bukit Jalil

Persoalan baharu muncul apabila konsert sudah selesai dan pentas sudah dileraikan, adakah rumput mempunyai masa yang cukup untuk menyatu dengan tanah dibawah menjelang perlawanan menentang Oman pada Mac ini.

Konsert Coldplay meninggalkan kesan yang buruk terhadap permukaan padang dimana ada bahagian yang tercabut dan tidak rata ketika digunakan bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu.

Apa yang pasti, PSM perlu memberikan penjelasan sama ada padang mempunyai masa yang cukup untuk disiapkan bagi memastikan pasukan negara boleh menampilkan prestasi terbaik di atas permukaan pada Stadium Nasional Bukit Jalil.