Kerajaan Arab Saudi giat membanteras jemaah yang menunaikan haji tanpa lesen dan bakal mengenakan hukuman denda dalam bentuk wang atau penjara kepada mana-mana individu atau pihak yang bersalah.

Arab menerusi agensi keselamatan negara itu menegaskan mana-mana ejen yang menangguhkan laporan pemergian rekrut atau pekerja mereka selepas tamat tempoh visa masuk juga akan menghadapi penalti.

Baca Juga:

Pada masa yang sama, mereka turut mengumumkan bahawa kegagalan melaporkan jemaah yang berlepas tepat pada masanya boleh menyebabkan denda sehingga SR50,000 atau sekitar RM62 Ribu atau penjara sehingga enam bulan. Pelanggar akan dihantar pulang selepas tamat tempoh hukuman.

Baru-baru ini, pihak berkuasa Saudi telah menangkap ribuan warga asing tanpa izin dalam kempen yang dijalankan di seluruh negara dimana mereka menyasarkan pelanggar undang-undang residensi, buruh dan keselamatan sempadan. Amaran terbaharu itu adalah sebahagian daripada langkah yang dipertingkatkan terhadap jemaah haji yang tidak mempunyai lesen.

Pada 1 Jun lalu, kerajaan Saudi menahan 37 jemaah haji Indonesia dari Makassar, Sulawesi Selatan kerana melanggar visa kerana mereka memiliki dokumen visa haji yang tidak layak untuk menunaikan haji.

Jemaah yang ditahan terdiri daripada 21 lelaki dan 16 wanita. Menurut jurucakap kerajaan, pihaknya menuduh mereka berhasrat menunaikan haji dengan dokumen visa umrah pada musim haji tahun ini.

Menurut Konsulat Indonesia di Jeddah iaitu Yusron B.Ambarie berkata jemaah haji meninggalkan Indonesia ke Riyadh, Arab Saudi, dengan menaiki penerbangan transit di Doha, Qatar.

Setelah sampai di Riyadh, mereka meneruskan perjalanan ke Madinah. Mereka bagaimanapun gagal sampai ke bandar di mana terletaknya Masjid Nabawi selepas pegawai polis Saudi menahan mereka di pusat pemeriksaan.

Semasa pemeriksaan keselamatan, pegawai polis Saudi mendapati mereka hanya pemegang visa umrah tetapi memakai gelang pengenalan haji dan kad pengenalan haji palsu yang biasa dipegang oleh jemaah haji dari Indonesia yang sah.

Mulai 23 Mei, pemegang visa lawatan dilarang memasuki atau menetap di Mekah sehingga 21 Jun. Pihak berkuasa Arab Saudi menjelaskan bahawa visa lawatan tidak berfungsi sebagai permit haji dan menggesa pemegang visa mengelak perjalanan ke Mekah dalam tempoh ini.