Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon mendedahkan beliau pernah menolak satu tawaran lumayan demi komitmennya bersama pasukan Malaysia.
Menurutnya, tawaran tersebut datang dari FA China pada Disember tahun lalu, namun beliau terpaksa menolak kerana mahu kekal bersama Harimau Malaya bagi mengharungi temasya Piala Asia 2023 yang berlangsung di Qatar pada Januari awal tahun ini.

Baca Juga:
- Tanya Kim Pan-gon Apa Dia Maksudkan Dengan Bahaya – Tunku Ismail
- Kim Pan-gon Enggan Kongsi Butiran Mengapa Beliau Letak Jawatan
- Kim Pan Gon Bakal Latih Juara Liga Korea, Ulsan HD?
“Saya boleh kongsikan kepada anda bahawa saya ada menerima tawaran lumayan daripada China pada Disember lepas.
“Namun, saya telah tolak keputusan tersebut kerana mahu bersama Harimau Malaya pada kempen Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu,” katanya.

Dalam satu sidang media yang diadakan baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah berusaha untuk memujuk Kim Pan-gon untuk terus kekal membimbing skuad kebangsaan namun langkah itu gagal.
Perkara ini disampaikan oleh timbalan presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dimana Pan-gon tetap dengan keputusannya untuk mengundurkan diri dan badan itu harus menghormati langkah yang diambil oleh jurulatih dari Korea itu.
“Pan-gon telah bertemu dengan kepimpinan tertinggi FAM, kami cuba meyakinkannya untuk kekal, tetapi dia berkeras untuk menamatkan kontraknya yang hanya akan tamat pada Disember 2025.
“Kami pastinya sedih dan kecewa kerana beliau telah berjasa dalam membawa Harimau Malaya ke Pusingan Akhir Piala Asia dan (membantu meningkatkan) ranking dunia semasa beliau menjadi ketua jurulatih. Ia adalah satu kerugian besar berdasarkan apa yang telah beliau lakukan untuk kami,” katanya.
Pan-gon menegaskan sebab utama beliau meletak jawatan sebagai ketua jurulatih adalah kerana alasan peribadi tetapi enggan berkongsi dengan lebih lanjut mengenai sebab utama keputusan itu diambil.
“Hari ini, saya telah memutuskan untuk berundur sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia kerana komitmen peribadi saya. Saya memohon maaf atas sebarang kekecewaan yang mungkin ditimbulkan kepada semua pihak.
“Sejak saya tiba pada Februari 2022, selama dua setengah tahun yang lalu, rakyat Malaysia benar-benar menghadiahkan saya satu perjalanan yang sangat luar biasa dan indah dalam hidup saya,” katanya menurut kenyataan yang dikeluarkan FAM.