Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini membuka lembaran baharu apabila secara rasminya telah melancarkan Akademi Pengadil Profesional.

Akademi tersebut ditubuhkan bertujuan untuk melahirkan pengadil berprestasi tinggi bagi mengadili perlawanan Liga Super Malaysia dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.

Baca Juga:

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM pada Majlis Makan Malam Pengadil FAM 2024 yang berlangsung di Hotel Armada, Petaling Jaya.

Menurut Dato’ Sivasundaram, seramai 30 pengadil termasuk tiga pengadil wanita telah dipanggil untuk menyertai projek Akademi Pengadil Profesional bagi batch pertama iaitu bermula tahun 2023 hingga 2025.

“Bagi batch pertama ini, FAM telah memilih pengadil-pengadil muda dan berpotensi yang mana umur mereka di antara 20 hingga 32 tahun.

“Pengadil-pengadil ini akan diuji dari segi aspek kecergasan, kesihatan, undang-undang permainan serta literasi (kebolehan menulis dan membaca) dalam bahasa Inggeris. Sebanyak sembilan modul perlu diikuti oleh mereka,” katanya.

Tambah Dato’ Sivasundaram, seramai lima pengadil daripada kumpulan ini juga telah dipilih untuk dilatih sebagai pengadil VAR.

“Matlamat terakhir kita bagi batch pertama Akademi Pengadil Profesional ini adalah untuk menyediakan pengadil-pengadil yang berprestasi tinggi bagi Liga Super Malaysia pada 2026.”

Sehubungan dengan itu, Sivasundaram mahu melihat projek jangka panjang ini diteruskan untuk kumpulan-kumpulan seterusnya pada 2025-2027 dan 2027-2029.

Diharapkan inisiatif daripada FAM ini dapat menyelesaikan isu kepengadilan yang sering menjadi masalah saban tahun.