Skuad hoki Malaysia membuka tirai Piala Sultan Azlan Shah 2026 dengan nota kemenangan selepas menundukkan Korea Selatan 3-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Azlan Shah Ipoh malam tadi.
Kemenangan penting dilakarkan itu melebarkan rekod kemenangan Malaysia ke atas Korea Selatan dimana skuad kendalian Brendan Carolan itu mencatatkan kemenangan kelima berturut-turut berdepan lawan tersebut pada tahun ini.

Permulaan Baik Malaysia Di Ipoh
Skuad negara yang menguasai permainan bagaimanapun bergelut untuk mendapatkan jaringan susulan kekentalan serta disiplin tinggi barisan pertahanan Korea Selatan.
Keadaan itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat hingga tamat suku kedua permainan.
Jaringan dinantikan kem negara hadir pada minit ke-36 selepas Azrai Aizad Abu Kamal yang menerima hantaran jauh Faiz Helmi Jali dengan tenang melepasi jangkauan penjaga gol Korea Selatan untuk gol pertama perlawanan.

Dua minit kemudian, Azimuddin Syakir Kamaruddin menjadikan kedudukan 2-0 menerusi jaringan padang dan Faisal Saari mengukuhkan kedudukan hasil jaringan ‘penalty stroke’ untuk memastikan kemenangan penting buat skuad negara.
Misi seterusnya buat skuad negara adalah bertemu Kanada pada jam 7.30 malam ini. Kanada tumbang 1-5 kepada Pakistan dalam aksi petang semalam.