Skuad hoki lelaki Malaysia, The Speedy Tigers berpeluang melangkah ke pentas final Piala Sultan Azlan Shah 2026 apabila bakal berdepan Pakistan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan malam ini.

Perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh itu cukup penting buat kedua-dua pasukan memandangkan satu slot ke final masih menjadi rebutan.

Malaysia Berdepan Pakistan Malam Ini, Ini Situasi Yang Bakal Tentukan Tiket Ke Final
Kredit Foto: Malaysian Hockey Confederation

Bagaimanapun, skuad kendalian Brendan Carolan itu berada dalam kedudukan lebih baik apabila hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir.

Skuad negara ketika ini menduduki tangga kedua carta kumpulan dengan sembilan mata, berkongsi jumlah mata yang sama dengan Pakistan.

Namun, kelebihan perbezaan jaringan menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan apabila skuad diketuai Marhan Jalil itu mencatatkan +9 berbanding +6 milik Pakistan.

Situasi itu bermakna Speedy Tigers mempunyai kelebihan menjelang pertembungan penentuan malam ini, tetapi masih perlu memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong.

Malaysia Berdepan Pakistan Malam Ini, Ini Situasi Yang Bakal Tentukan Tiket Ke Final
Kredit Foto: Malaysian Hockey Confederation

Apa Keputusan Yang Diperlukan Malaysia Untuk Ke Final?

Terdapat tiga kemungkinan keputusan yang bakal menentukan nasib Malaysia dalam perebutan slot ke final Piala Sultan Azlan Shah 2026.

1) Menang

Sekiranya berjaya menewaskan Pakistan, Malaysia akan mengutip tiga mata tambahan untuk mengumpul 12 mata.

Keputusan itu sudah cukup untuk mengesahkan tempat Speedy Tigers di pentas final tanpa perlu mengambil kira keputusan perlawanan lain.

2) Seri

Keputusan seri juga sudah memadai buat skuad negara untuk menempah tiket ke final.

Ini kerana kedua-dua pasukan akan berkongsi 10 mata, namun Malaysia dijangka kekal di tangga kedua berdasarkan kelebihan perbezaan jaringan yang lebih baik.

Tak Boleh Tewas

Situasi berbeza akan berlaku sekiranya Malaysia mengalami kekalahan kepada Pakistan.

Pakistan akan mengutip tiga mata penuh untuk mengumpul 12 mata, sekali gus memintas skuad negara dalam carta kumpulan dan merampas slot ke final.

Justeru, Speedy Tigers perlu mengelakkan kekalahan sekiranya mahu meneruskan cabaran memburu kejuaraan di laman sendiri.

Untuk rekod, Australia sudah terlebih dahulu mengesahkan tempat ke final selepas memenangi kesemua empat perlawanan peringkat kumpulan.

Kini, segala-galanya terletak di tangan Speedy Tigers untuk memastikan peluang beraksi di pentas final di hadapan penyokong sendiri menjadi kenyataan.