Malaysia meraih kemenangan pertama dalam kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah 2025 selepas menundukkan Kanada 3-2 pada aksi yang berlangsung malam tadi.
Perlawanan yang terpaksa ditunda selama dua jam ekoran hujan lebat di Ipoh itu langsung tidak menjejaskan semangat juang anak buah Sarjit Singh.
Baca Juga:
- Piala Sultan Azlan Shah 2025: Malaysia, New Zealand Terikat 2-2 Pada Aksi Pembukaan

- Jadual Aksi Malaysia Di Piala Sultan Azlan Shah 2025

- Senarai Negara Beraksi Dalam Piala Sultan Azlan Shah 2025

Ia jelas dibuktikan apabila mereka hanya memerlukan lima minit sahaja untuk membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah, Fitri Saari.

Berpunca daripada hantaran Akhimullah Anuar Esook dalam kawasan D, Fitri tidak melepaskan peluang tersebut untuk meletakkan The Speedy Tigers dihadapan.
Seminit kemudian, Shello Silverius mendapat peluang terbaik untuk melebarkan kedudukan, namun pukulan kilas dihadapan pintu gol diselamatkan penjaga gol lawan.
Kanada kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-13 selepas Sean Davis mengambil kesempatan susulan kegagalan Shello mengeluarkan bola di kawasan bahaya.
Kealpaan skuad negara terus dihukum berselang empat minit kemudian selepas ketua pasukan, Matthew Sarmento menolak masuk bola setelah menerima hantaran Davis bagi membolehkan Kanada pula mendahului.
Kebangkitan Malaysia Atasi Kanada
Kegembiraan itu hanya mampu bertahan selama tiga minit apabila Azrai Aizad Abu Kanal menjadikan kedudukan 2-2 selepas beliau pantas menolak masuk bola ketika pukulan jauh Faiz Helmi Jali yang terkena tiang gol.
Jaringan ketiga skuad negara hadir pada minit ke-25 menerusi pukulan sudut penalti pemain berpengalaman, Faizal Saari yang tidak mampu diselamatkan penjaga gol Kanada, Zachary Coombs.
Aksi selepas itu semakin menarik dengan kedua-dua pasukan berusaha keras untuk menambah jaringan tetapi ia masih belum cukup bagi menghadiahkan tiga mata penuh buat Malaysia.

Dengan kemenangan penting tersebut, skuad Malaysia berada di kedudukan teratas dengan empat mata, namun kedudukan itu akan berubah sekiranya India menang ke atas Belgium yang sedang beraksi ketika ini.
Cabaran lebih getir menanti Malaysia pada 8.00 malam esok apabila bakal berhadapan dengan gergasi Asia, India.