Saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 baharu memasuki perlawanan kedua tetapi kehangatannya amat dirasai dalam kalangan peminat sukan tersebut.

Pasukan yang dibanjiri pemain bintang, Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan kecemerlangan apabila garang menundukkan Terengganu 8-1 di Pasir Gudang pada Sabtu lalu.

Baca Juga:

Ia menjadikan skuad kendalian Juan Antonio Miguel Garcia itu satu-satunya pasukan yang mencatatkan dua kemenangan berturut-turut dimana pada aksi pertama mereka menewaskan Gombak TOT United 6-1.

Pemain JDT, Saad Sani juga terus cemerlang dengan tambahan dua jaringan bagi menjadikannya sebagai penjaring terbanyak bersama Guntur Sulistyo Ariwibowo (Gombak TOT United) dengan lima gol.

Guntur turut menjadi tumpuan berikutan lima gol diledakkannya ketika membantu Gombak TOT United menewaskan Sabah 7-5 dalam satu aksi yang cukup mendebarkan.

Ia merupakan kemenangan yang memberikan kesan besar serta amat signifikan buat Gombak TOT United kerana kira-kira tujuh pemain dan bekas ketua jurulatih kelab tersebut telah berhijrah ke Sabah pada musim ini.

Shah Alam City. Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Sementara itu, Shah Alam City yang diperkuatkan dengan kehadiran dua pemain import Brazil iaitu Kelwin Soares dan Isaias Figueiredo dilihat mampu untuk menjadi pencabar kejuaraan.

Bermula dengan mengikat juara bertahan, Pahang Rangers 6-6 pada aksi pembukaan, anak buah Muizzuddin Harris itu tidak berdepan masalah membelasah KL City 8-3.

Empat mata diraih meletakkan Shah Alam City pada ketika ini ditangga kedua, ketinggalan dua mata dibelakang JDT selepas mengharungi minggu kedua MPFL 2024.

Manakala seperti dilaporkan semalam, Pahang Rangers meraih kemenangan sulung selepas berjaya menundukkan Selangor 8-4 di Kuantan.

Felipe De Souza dan Hamdin Zharif Mahmun beraksi cemerlang dengan meledakkan hatrik manakala Murilo Carlos Saad dan Muhammad Amirul Khairuddin masing-masing menjaringkan satu gol.