Kejohanan hoki jemputan berprestij, Piala Sultan Azlan Shah 2025 bakal menemui peminat sukan tersebut di Ipoh bermula 23 hingga 30 November nanti.

Selain Malaysia selaku tuan tumah, kejohanan yang bakal diadakan di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh itu menampilkan pasukan-pasukan terbaik dunia seperti Belgium, India, Korea Selatan, New Zealand dan Kanada.

Baca Juga:

Daripada senarai tersebut, Belgium dilabel sebagai pasukan terbaik apabila skuad kendalian Shane McLeod itu menghuni tangga ketiga dalam ranking dunia Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Ini merupakan penampilan kedua Belgium dalam Piala Sultan Azlan Shah selepas melakukannya pada edisi 2008.

Gergasi Asia, India pula turun dengan reputasi besar selaku juara lima kali kejohanan dan merupakan antara negara yang sering menyertai pertandingan ini.

Selain itu, New Zealand yang dibimbing Greg Nicol juga bukanlah lawan mudah kerana pasukan dengan julukan Vantage Black Sticks itu pernah muncul juara edisi 2012 dan 2015 serta meraih tempat ketiga pada tahun lalu.

Kanada yang kini berada di ranking ke-20 dunia bakal membuat penampilan ke-11 manakala satu lagi slot diisi Korea Selatan (ranking ke-15 dunia).

Kejohanan ini dijangka menyajikan aksi penuh debaran apabila pasukan-pasukan dari lima benua akan bersaing bagi merebut trofi berprestij tersebut.

Pemain-pemain bintang dunia bakal membawa corak permainan bertaraf antarabangsa, memberi peluang kepada peminat untuk menyaksikan skil individu dan strategi hebat di gelanggang tempatan.

Sudah pasti peminat hoki di Ipoh seperti kebiasaan tidak akan melepaskan peluang keemasan ini untuk membanjiri Stadium Azlan Shah pada setiap perlawanan sekali gus mengharapkan Malaysia dapat mengulangi pencapaian muncul juara edisi 2022.

Senarai Pasukan Beraksi Dalam Piala Sultan Azlan Shah 2025

1) Malaysia

2) Belgium

3) India

4) New Zealand

5) Korea Selatan

6) Kanada