PMB United, Kelab Sukan & Rekreasi di bawah Pelaburan MARA Berhad (Pelaburan MARA), telah menganjurkan kejohanan sulung Media x PMB United Pickleball Friendly Tournament 2025 di Pickle Point, Damansara, Selangor.
Kejohanan ini menghimpunkan seramai 40 peserta yang terdiri daripada 20 wakil dari empat agensi media (Utusan Malaysia, RTM, TV3 dan Malaysia Gazette) serta 20 wakil daripada Kumpulan Pelaburan MARA di dalam sebuah pertandingan yang mesra, mengalakkan jaringan hubungan, serta membina komuniti.
Pertandingan dijalankan dalam format beregu campuran round-robin yang memastikan setiap peserta mendapat masa permainan maksimum di samping memupuk semangat setiakawan dan persaingan sihat antara kedua-dua kumpulan.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Pelaburan MARA, En. Mohd Adzhar Abd Hamed mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan En. Mahdzir Othman. Hadir sama, barisan pengurusan kanan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif PMB Tijari, Pn. Norleza Abu Bakar; Ketua Komunikasi Strategik, En. Taha Rusydi Mohd Nazri; dan Presiden PMB United, En. Mohd Isyazwan Fauzi @ Puzilah.

En. Mahdzir menzahirkan rasa gembira dengan penyertaan yang begitu menggalakkan, sambil menekankan bahawa sukan pickleball, sebagai antara sukan yang berkembang pesat di peringkat global, adalah sukan yang melambangkan sifat keterangkuman dan mudah dipelajari.
“Kejohanan ini bukan sekadar permainan. Ia bagi meraikan persahabatan, kerja berpasukan dan nilai-nilai bersama. Sukan mempunyai keunikan tersendiri dalam meruntuhkan tembok pemisah dan membina persahabatan sejati, dan kami berharap hubungan yang terjalin di sini akan terus kukuh, sama ada di dalam atau di luar gelanggang,” katanya.

Wakil Media Prima daripada New Straits Times (NST), Muhammad Rohaizam Latib dan Wan Huzairy Wan Hussin berjaya merangkut pingat emas dalam acara Open Doubles dan membawa pulang hadiah RM500 dalam kejohanan ini.
Melangkah ke hadapan, Bahagian Komunikasi Strategik (Stratcomm) Pelaburan MARA berhasrat untuk memperkukuh jalinan kerjasama dengan rakan media dengan menjadikan kejohanan mesra ini sebagai platform tahunan, manakala PMB United akan terus mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan warga kerja Kumpulan Pelaburan MARA.
Untuk maklumat lanjut mengenai acara ini, sila layari laman sesawang rasmi Pelaburan MARA di sini.