Pemain Kedah Darul Aman kembali memboikot sesi latihan menjelang aksi Liga Super dan Piala Cabaran selepas pihak pengurusan belum menyelesaikan masalah tunggakan gaji.

Menurut laporan NST, ketua jurulatih pasukan iaitu Victor Andrag mengatakan tidak sampai separuh pemain yang hadir ke sesi latihan.

Baca Juga:

“Sejak kami memulakan latihan pada Ahad, kurang separuh daripada skuad hadir berbanding sebelum ini.

“Keadaan ini membimbangkan kerana kami mempunyai perlawanan penting yang akan datang. Pemain yang terlepas latihan berkemungkinan menghadapi masalah kecergasan, yang boleh menjejaskan prestasi keseluruhan pasukan,” kata Victor.

Ini bukan kali pertama pemain Kedah Darul Aman memboikot sesi latihan dimana mereka beberapa kali melakukan perkara sama ekoran kecewa dengan pihak pengurusan yang belum menyelesaikan masalah tunggakan gaji.

Pemain enggan turun berlatih sebelum perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC yang berlangsung pada 19 Oktober ini dan langkah sama diambil oleh pemain sebelum aksi menentang Kuala Lumpur City yang mana pasukan itu tewas dengan keputusan 5-0.

Ketua jurulatih Kedah ketika itu, Nafuzi Zain terpaksa menurunkan pemain muda yang baru sahaja menjalani latihan selepas tamat Sukan Malaysia (SUKMA).

Masalah tunggakan gaji ini bagaikan tiada kesudahan dimana musim ini, ada beberapa pasukan yang gagal membayar gaji dan pegawai pasukan selama beberapa bulan.

Para pemerhati sukan juga berpendapat Liga Malaysia berpotensi lingkup dalam masa beberapa tahun lagi sekiranya isu tunggakan gaji tidak diselesaikan secara serius menerusi transformasi.