Pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC dilaporkan mendapat imbuhan dari pengurusan sebelum turun beraksi menentang Kuala Lumpur City dalam saingan Liga Super 2024/2025.

Wartawa Astro Arena iaitu Fadhirul Shuhaimi melaporkan bahawa pemain diberikan sedikit imbuhan bagi menaikkan semangat pemain ketika prestasi pasukan tidak menentu ketika ini.

Baca Juga:

Pemain Kedah Dapat Imbuhan Dua Kali

Kedah Darul Aman
Sumber Gambar: Kedah Darul Aman

“Saya difahamkan pengurusan kelab telah memberi sedikit imbuhan kepada barisan pemain di sebelah pagi (6 Mac) tadi. Mungkin tidak begitu besar tetapi ada sedikit.

“Sama ada sebelum sepak mula atau selepas perlawanan, akan ada sedikit lagi imbuhan buat pasukan Kedah,” kata Fadhirul.

Isu luar padang iaitu isu tunggakan gaji yang dialami oleh KDA nyata menjejaskan prestasi pasukan yang menyaksikan mereka berada di kedudukan ke-10 dalam carta Liga Super setakat ini.

Sebelum ini, pemain Kedah beberapa kali memboikot sesi latihan selepas pihak pengurusan belum menyelesaikan masalah tunggakan gaji.

Kedah Darul Aman
Sumber Gambar: KDA FC

Pemain enggan turun berlatih pada Januari lalu dimana pengendali pasukan iaitu Victor Andrag menegaskan tidak sampai separuh daripada barisan pemain yang turun berlatih ketika itu.

“Keadaan ini membimbangkan kerana kami mempunyai perlawanan penting yang akan datang. Pemain yang terlepas latihan berkemungkinan menghadapi masalah kecergasan, yang boleh menjejaskan prestasi keseluruhan pasukan,” kata Victor.

Ini bukan kali pertama pemain Kedah Darul Aman memboikot sesi latihan dimana mereka beberapa kali melakukan perkara sama ekoran kecewa dengan pihak pengurusan yang belum menyelesaikan masalah tunggakan gaji.

Pemain enggan turun berlatih sebelum perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC yang berlangsung pada 19 Oktober ini dan langkah sama diambil oleh pemain sebelum aksi menentang Kuala Lumpur City yang mana pasukan itu tewas dengan keputusan 5-0.

Ketua jurulatih Kedah ketika itu, Nafuzi Zain terpaksa menurunkan pemain muda yang baru sahaja menjalani latihan selepas tamat Sukan Malaysia (SUKMA).