Saingan Terbuka Jepun 2025 yang bermula semalam menyaksikan beberapa pemain pilihan mengalami kejutan besar pada pusingan pertama kejohanan di Tokyo itu.

Yang paling mencuri tumpuan pastinya kekalahan pasangan ranking kedua dunia dari Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Baca Juga:

Namun kekecewaan itu mungkin sedikit terubat kerana mereka hanya tewas kepada rakan senegara iaitu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dengan keputusan 15-21, 15-21.

Pemain Pilihan
Kredit Foto: Anusak Laowilas / NurPhoto via AFP

Nasib Tidak Memihak Sebahagian Pemain Pilihan

Pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Kunlavut Vitidsard turut terpaksa berputih mata selepas tunduk di tangan pemain China, Weng Hong Yang.

Berada di ranking ke-13 dunia, Hong Yang tampil garang untuk menang ‘straight set’ 21-13, 21-19.

Pemain ranking kedua dunia, Anders Antonsem juga ditunjukkan jalan keluar oleh pemain China selepas beliau tewas kepada Lei Lan Xi 19-21, 15-21.

Nasib sama turut dialami pemain ranking keempat dunia, Jonatan Christie selepas pemain pilihan dari Indonesia itu tunduk kepada pemain tuan rumah, Kenta Nishimoto 13-21, 12-21.

Dua pasangan pilihan dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani (ke-7) dan Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana (ke-8) juga tersingkir awal.

Gutama-Isfahani tewas 22-24, 12-21 kepada rakan senagara yang baharu digandingkan, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri manakala Leo-Bagas pula akur dengan kehebatan Liu Kuang Heng-Yang Po Han dari Chinese Taipei 15-21, 19-21.

Pemain Pilihan
Jonatan Christie. Kredit Foto: VERI SANOVRI / Xinhua via AFP

Dalam sektor beregu wanita pula gandingan China yang merupakan pilihan kelima, Li Yi Jing-Luo Xu Min tewas kepada pasangan ranking ke-35 dunia, Mizuki Otake-Miyu Takahashi 21-15, 17-21, 12-21.

Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dari Jepun (pilihan ke-8) turut terpaksa menelan kepahitan tewas kepada Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo dari Korea Selatan 17-21, 19-21.