Bank Muamalat mengalakkan para pekerjanya memakai jersi Harimau Malaya ke pejabat pada hari Isnin ini sebagai tanda sokongan padu terhadap skuad kebangsaan sempena saingan Piala Asia 2023.

Perkembangan itu didedahkan oleh laman facebook penyokong Terengganu apabila salah seorang pekerja bank tersebut menerima email rasmi daripada pihak pengurusan yang membenarkan semua warga Bank Muamalat memakai jersi keramat skuad kebangsaan.

Baca Juga:

“Sempena Piala Asia 2023, pihak pengurusan membuat keputusan membenarkan semua pekerja memakai jersi skuad kebangsaan (Harimau Malaya) ke pejabat pada hari Isnin, 15 Januari 2024,” tulis email tersebut.

Langkah itu mendapat pujian daripada peminat bola sepak tempatan untuk memupuk semangat patriotik kerana sudah lama skuad negara tidak layak ke Piala Asia secara merit.

Malah, ada juga yang mencadangkan agar syarikat lain dan kerajaan negeri mencontohi usaha Bank Muamalat mengadakan kempen memakai jersi Harimau Malaya ketika tiba hari perlawanan.

“Kalau kerajaan buat kempen macam ni ada bagusnya”

“Patutnya Maybank buat sekali, kepala rimau,” kata sebahagian daripada warga maya.

Walaupun tiada sebarang kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Bank Muamalat sentiasa memberikan sokongan penuh kepada pasukan bola sepak kebangsaan dan mereka turut berkempen mengajak rakyat Malaysia memakai jersi Harimau Malaya.

Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon akan memulakan aksi kumpulan E menentang Jordan pada hari Selasa jam 1.30 pagi waktu Malaysia sebelum berdepan Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari).

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Jabatan Belia Dan Sukan Negara (JSBN) turut menyediakan tayangan ‘Big Screen’ (skrin besar) di lokasi terpilih untuk orang ramai menonton aksi Harimau Malaya sambil memberikan sokongan padu.

Lihat di sini senarai lokasi tayangan skrin besar di seluruh negara.

Sama-sama kita memberikan sokongan padu dan mendoakan agar skuad negara melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Asia kali ini.