October 27, 2026 - 1:25 PM

Bagi seorang bapa, tiada saat yang lebih membahagiakan selain dapat meluangkan masa berkualiti melihat anak-anak membesar di depan mata.

Namun, hakikat ini kadangkala diuji dengan tahap kecergasan diri yang semakin merosot seiring pertambahan usia. Situasi itulah yang menjadi titik tolak perubahan hidup buat Muhammad Aidil Mohamed Sis.

Menurut laporan AsiaOne, Pada usia 37 tahun dengan berat badan mencecah 92 kilogram pada tahun 2025, bapa kepada dua cahaya mata ini mula sedar bahawa staminanya tidak lagi mampu mengimbangi keaktifan anak-anak perempuannya, Adeena yang berumur 11 tahun dan Aneesa, tujuh tahun.

Rasa Terpukul Bila Cepat Mengah Melayan Anak

Sebagai seorang bapa yang menetap di Singapura, Aidil sering tertanya-tanya kepada dirinya sendiri mengapa dia tidak mampu meluangkan masa lebih lama untuk beraktiviti bersama anak-anak. Rasa mengah dan keletihan yang pantas menjelma setiap kali mereka bermain bersama menjadi tamparan hebat buat dirinya.

“Setiap kali anak-anak ajak buat aktiviti, saya cuma boleh bertahan sekejap saja sebelum mula rasa letih,” luah Aidil.

Enggan terus membiarkan masalah stamina membataskan peranannya sebagai ketua keluarga, hos podcast The Common Folks merangkap jurulatih kecergasan bebas ini nekad mengambil keputusan besar.

Bermula November 2025, dia memulakan langkah pertama menurunkan berat badan secara konsisten demi memastikan dirinya sentiasa ada dan cergas untuk anak-anaknya.

Restu Penuh Isteri Dan Pintu Ke Pentas Sukan

Perjalanan kecergasan Aidil membuka lembaran baharu apabila dia berkenalan dengan beberapa atlet bina badan.

Dorongan rakan-rakan yang melihat potensinya mencetuskan minat mendalam untuk mencuba sukan berkenaan, satu bidang yang tidak pernah terlintas di fikirannya sebelum ini.

Sedar bahawa sukan bina badan menuntut komitmen yang bukan sedikit, dia terlebih dahulu berbincang dengan suri hatinya, Siti Juleiha Ishak. Tanpa ragu-ragu, isterinya memberi lampu hijau dan sokongan moral sepenuhnya.

“Cuba sajalah sekali, alang-alang awak pun dah memang berminat,” kata isterinya memberi semangat.

Berbekalkan restu keluarga dan bimbingan daripada dua orang jurulatih, Aidil memulakan fasa persediaan intensif seawal Januari.

Jadual hariannya disusun rapi, mengimbangi antara sesi latihan bebanan di gimnasium, senaman kardio, perancangan diet yang ketat, selain komitmen kerjaya dan masa bersama keluarga.

Disiplin Dapur: Timbang Makanan Sendiri Demi Isteri

Disiplin di gimnasium hanyalah separuh daripada perjuangannya. Cabaran sebenar yang menuntut kekuatan mental tertinggi terletak pada kawalan pemakanan harian selama berbulan-bulan.

Menariknya, Aidil memilih untuk menyediakan serta menimbang sendiri setiap hidangan makanannya. Sebagai suami, dia enggan membebankan isterinya yang sudah menggalas tanggungjawab besar menguruskan rumah tangga sepenuh masa.

Di samping itu, peminat tegar makanan manis ini terpaksa berhadapan dengan godaan aiskrim dan coklat kegemarannya. Bagi mengekang rasa teringin tanpa merosakkan pelan diet, Aidil beralih kepada alternatif coklat bebas gula.

“Orang ramai mungkin hanya nampak beberapa minit kami beraksi di atas pentas, tetapi mereka tidak nampak pengorbanan berbulan-bulan di sebalik tabir,” jelasnya mengenai realiti fasa persediaan yang dilaluinya.

Kejutan Pentas Kuala Lumpur Dan Misi Buat Komuniti
Segala titisan peluh dan disiplin kentalnya akhirnya membuahkan hasil yang manis.

Pada 11 Oktober, Aidil melangkah yakin ke atas pentas pertandingan Physical Culture Association (PCA) Malaysia yang berlangsung di Kuala Lumpur dengan berat badan 71 kilogram, menyaksikan penurunan berat badan sebanyak 21 kilogram.

Bersaing dalam kategori Men’s Physique First-Timer yang menghimpunkan 12 peserta, Aidil berjaya menamatkan saingan di tempat kelima.

Pencapaian ini diakui sebagai satu kejutan manis dan amat bermakna buat dirinya yang membuat penampilan sulung di pentas kompetitif.

Pengalaman berharga ini bukan sekadar mengajar erti disiplin dan ketabahan, malah memperkukuh tekadnya untuk sentiasa setia kepada matlamat hidup walau apa jua halangan yang mendatang.

Aidil kini berharap agar kisah transformasinya dapat meniup semangat kepada orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

“Saya tidak mahu perjalanan ini terhenti sekadar dengan sebutir pingat. Saya mahu ia menjadi sesuatu yang mampu memberi manfaat kepada komuniti,” katanya mengakhiri bicara.

Dalam pada itu, orang ramai boleh mengikuti perkembangan kempen serta mendapatkan pelbagai perkongsian berkaitan gaya hidup sihat menerusi The Vocket dan tanda pagar #SihatItuSeksi di platform media sosial The Vocket.

TikTok: The Vocket di TikTok
Facebook: The Vocket di Facebook
YouTube: The Vocket di YouTube
Threads: The Vocket di Threads