Seorang pemain di atas padang perlu meninggalkan permainan selama seminit sekiranya penjaga gol pasukannya menerima rawatan pada musim depan.

Peraturan baharu itu merupakan usaha badan penganjur bola sepak England dalam menamatkan amalan ‘goalkeeper timeouts’ atau melengahkan masa dengan berpura-pura mendapatkan rawatan.

Persatuan Bola Sepak England (FA), English Premier League (EPL), English Football League (EFL) dan National League telah bersetuju untuk melaksanakan percubaan peraturan baharu itu selepas mendapat kelulusan daripada Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB).

Sebelum ini, WSL Football turut memutuskan pada Februari lalu untuk mengguna pakai percubaan tersebut bagi saingan dua divisyen tertinggi bola sepak wanita England bermula musim hadapan.

Peraturan Baharu Libatkan Kecederaan Penjaga Gol

Ketika ini, penjaga gol tidak perlu meninggalkan padang sekiranya menerima rawatan daripada pegawai fisioterapi di atas padang, tidak seperti pemain lain.

Keadaan itu membolehkan penjaga gol meminta rawatan bagi memberi peluang kepada pasukan mendapatkan rehat seketika tanpa perlu bermain dengan kekurangan pemain selepas permainan disambung.

Di bawah peraturan baharu itu, sekiranya penjaga gol memberi isyarat untuk mendapatkan rawatan, jurulatih pasukan akan diberikan masa selama 10 saat untuk menamakan seorang lagi pemain yang perlu meninggalkan padang selama seminit.

Sekiranya tiada pemain dinamakan dalam tempoh tersebut, kapten pasukan secara automatik perlu keluar dari padang selama satu minit.

Pada Mac lalu, ketua jurulatih Brighton & Hove Albion, Fabian Hurzeler menuduh Arsenal sengaja melengahkan masa ketika pasukannya tewas 0-1 kepada kelab London itu.

Hurzeler mendakwa penjaga gol Arsenal, David Raya sengaja merebahkan badan sebanyak tiga kali bagi membolehkan rakan sepasukan menerima arahan daripada barisan kejurulatihan, sekali gus memberikan kelebihan taktikal kepada pasukan ketika perlawanan berlangsung.

Pada November tahun sebelumnya, ketua jurulatih Leeds United, Daniel Farke turut menggesa supaya undang-undang permainan diubah selepas mendakwa penjaga gol Manchester City, Gianluigi Donnarumma berpura-pura mengalami kecederaan ketika pasukannya tewas 2-3 di Stadium Etihad.

Menurut Farke, tindakan itu berjaya mematahkan momentum Leeds United pada ketika mereka sedang berusaha mencari gol penyamaan.

Badan pengadil profesional England, Pro Ref (dahulunya dikenali sebagai PGMOL) bersama liga-liga bola sepak England menyedari keperluan untuk mencari penyelesaian terhadap isu tersebut, sekali gus memperkenalkan percubaan peraturan baharu itu.

Bagaimanapun menurut sumber The Times, beberapa pengecualian turut diberikan. Sesebuah pasukan tidak perlu kehilangan seorang pemain selama seminit sekiranya penjaga gol dikasari oleh pihak lawan, mengalami pendarahan, perlu digantikan atau bertembung dengan pemain lain ketika perlawanan.

 

Sumber