Dua daripada lima mangsa yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas berhampiran Lapangan Terbang Pelepasan dan Pendaratan Pendek (STOLport) Long Lellang di sini disahkan layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan berkata, Skuad PERKESO Prihatin telah bertindak pantas menjalankan semakan kelayakan sebaik sahaja menerima maklumat berhubung insiden berkenaan.

Perincian Faedah PERKESO Kepada Waris Mangsa
1. Kapten Zainol Afiq Bee Sham (31 tahun / Juruterbang)

Faedah Pengurusan Mayat (FPM): RM3,000 (sekali bayar).

Faedah Orang Tanggungan (FOT): Dianggarkan RM5,355 sebulan secara keseluruhan.

Agihan Faedah: Balu mangsa, Nor Izzati Syamimi Suhaimi (31 tahun), layak menerima RM3,213 sebulan seumur hidup. Manakala dua anak mangsa (berumur 1 dan 5 tahun) menerima RM2,142 sebulan sehingga mencapai umur 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.

2. Dr. Ainul Baraah Kamarudin (33 tahun / Pegawai Perubatan)

Faedah Pengurusan Mayat (FPM): RM3,000 (sekali bayar).

Faedah Pencen Penakat: Dianggarkan RM1,574.10 sebulan kepada suami mangsa, Muhammad Faiz Abdul Malik (37 tahun), bagi seumur hidup berdasarkan syer kelayakan.

Ramanan memberi jaminan bahawa PERKESO akan menyalurkan bantuan kewangan tersebut dengan kadar segera demi memastikan kelangsungan hidup waris terjamin.

Pembayaran FPM telah pun dilaksanakan pada Rabu, manakala pertemuan bersama keluarga mangsa diadakan pada Khamis bagi mempermudah urusan tuntutan faedah.

Bagi tiga lagi mangsa yang disahkan tiada rekod caruman, PERKESO akan merujuk kes mereka ke platform Social Synergy bagi mengenal pasti bentuk bantuan alternatif daripada agensi berkaitan.

Dalam kejadian petang Selasa lalu, sebuah helikopter perkhidmatan doktor udara (FDS) yang membawa seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan terhempas berhampiran STOLport Long Lellang, mengorbankan kesemua lima individu di dalam pesawat tersebut.