Kehilangan dua tonggak nampaknya tidak terlalu memberikan kesan buat Pahang Rangers apabila berjaya menundukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) 5-4 pada aksi persahabatan yang berlangsung di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), sebentar tadi.
Menampilkan skuad terkuat pada perlawanan ini, aksi pantas saling berbalas serangan ditampilkan oleh barisan pemain Pahang Rangers dan JDT.
Baca Juga:
- Pemenang Copa America Futsal, Murilo Saad Sertai Pahang Rangers
- Penantian Terlerai, Ridzwan Bakri Dan Mahadir Harahap Tambah Kekuatan Skuad Futsal JDT
- JDT Nafi Wujud Salah Laku Dalam Usaha Pancing Pemain Pahang Rangers
JDT yang dikemudi Juan Antonio Miguel Garcia terlebih dahulu berada dihadapan menerusi jaringan Awalluddin Mat Nawi pada minit ke-10.
Kelebihan itu bagaimanapun hanya mampu bertahan seminit sahaja selepas Sirhan Aiman Saipubahrim kembali menyamakan kedudukan.
Gol tersebut nyata meningkatkan moral skuad kendalian Gerard Casas Ullestre itu yang kemudiannya menambah tiga lagi jaringan menerusi gol sendiri Mahadir Harahap Khairuddin (minit ke-11), Felipe De Souza (ke-13) dan Murillo Saad pada minit ke-17.
JDT mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-28 sumbangan Firdaus Ambiah tetapi seminit kemudian, ketua pasukan Pahang Rangers, Akmarulnizam Idris menjadikan kedudukan 5-2.
Tekanan hebat diberikan JDT pada lewat permainan menyaksikan dua gol terhasil menerusi Awalluddin dan jaringan sendiri Harith Na’im tetapi ia sudah terlambat untuk menghalang kemenangan 5-4 memihak tuan rumah.
Kelab dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 semakin giat mempersiapkan pasukan menjelang sepak mula pertandingan pada 17 Februari nanti.
Pahang Rangers pastinya bakal berdepan tugas mencabar untuk mempertahankan kejuaraan MPFL dan Piala Futsal Malaysia yang dimenangi kerana pasukan lain seperti JDT dan Selangor turut kelihatan serius dalam menguatkan pasukan bagi menghadapi musim baharu.