Peninju Taiwan, Lin Yu Ting, meneruskan pemburuan pingat emas Sukan Asia selepas berjaya mengesahkan sekurang-kurangnya pingat gangsa di Nagoya, Jepun.
Lin Yu Ting menewaskan wakil Korea Utara, Won Un Gyong, dengan keputusan 4-1 dalam kategori 60kg wanita pada Isnin untuk melangkah ke separuh akhir.
Kemenangan itu menyaksikan juara Olimpik Paris 2024 tersebut semakin hampir untuk meraih pingat emas Sukan Asia buat kali kedua dalam kariernya.
Menariknya, Lin bertanding dalam kategori 60kg di Sukan Asia kali ini selepas sebelum ini memenangi pingat emas kategori 57kg pada temasya di Hangzhou, China pada 2023.
Kejayaan terbaharu itu hadir selepas Lin melalui tempoh penuh kontroversi susulan penyertaannya di Olimpik Paris.
Lin dan peninju Algeria, Imane Khelif, sebelum ini dibatalkan kelayakan daripada Kejohanan Dunia 2023 oleh Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) selepas badan tersebut mendakwa kedua-duanya gagal dalam ujian kelayakan jantina.
Namun, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membenarkan kedua-duanya bertanding di Paris.
IOC menyifatkan keputusan IBA terhadap mereka sebagai “mengejut dan sewenang-wenangnya”, sebelum Lin dan Khelif masing-masing berjaya membawa pulang pingat emas Olimpik.
Lin yang kini berusia 30 tahun turut mengakui bahawa dia pernah mempertimbangkan untuk bersara selepas Olimpik Paris.
Namun, dia memilih untuk meneruskan karier dan perjuangannya, termasuk sebagai tindak balas kepada pihak yang mempersoalkan kelayakannya untuk bertanding.
Kini, Lin hanya tinggal satu kemenangan lagi untuk mara ke final Sukan Asia dan berpeluang mempertahankan statusnya sebagai juara Asia.