Arab Saudi mempamerkan kebangkitan dramatik apabila mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Oman pada aksi kumpulan F Piala Asia 2023 yang berlangsung di Khalifa International Stadium, sebentar tadi.

Juara tiga kali itu bagaimanapun tersentak pada minit ke-14 apabila Salaah Al-Yahyaei menyempurnakan sepakan penalti bagi meletakkan Oman dihadapan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Sepakan tersebut dihadiahkan pengadil perlawanan, Evans Shaun Robert dari Australia setelah beliau melakukan rujukan Video Assistant Referee (VAR) susulan kekasaran pemain pertahanan, Hassan Al Tambakti terhadap Muhsen Al Ghassani.

Permainan kemudiannya menyaksikan anak buah Roberto Mancini itu giat menggandakan asakan ke arah kubu Oman yang dikawal Ibrahim Al-Mukhaini.

Namun, Ibrahim dan barisan pemain pertahanan Oman menjalankan tugasan dengan cukup berdisiplin dalam menghalang Arab Saudi daripada menghasilkan lebih banyak jaringan.

Pemain sayap kiri, Nasser Al-Dawsari mendapat dua peluang terbaik pada minit ke-22 untuk menyamakan kembali kedudukan tetapi percubaannya diselamatkan Ibrahim.

Selepas itu, giliran Abdullah Alkhaibari pula mengancam kubu Oman daripada luar kawasan penalti yang ditepis keluar penjaga gol berusia 26 tahun tersebut.

Ibrahim terus menjadi masalah utama buat Arab Saudi apabila beliau bertindak cemerlang dalam menafikan percubaan jarak dekat dijelmakan Sami Al-Najei pada masa kecederaan babak pertama.

Usaha berterusan Arab Saudi akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-78 apabila gerakan lincah Abdulrahman Ghareeb ke dalam kawasan penalti disudahkan dengan satu percubaan ‘placing’ yang tidak mampu diselamatkan Ibrahim.

Gol itu jelas menyemarakkan lagi api perjuangan barisan pemain Arab Saudi untuk mendapatkan jaringan kemenangan, tetapi peluang dimiliki pada minit ke-90 menerusi tandukan Firas Al-Buraikan hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Oman.

Ketua pasukan, Ali Albulayhi muncul wira buat Arab Saudi apabila tandukannya ketika situasi sepakan penjuru pada masa kecederaan berjaya membolosi gawang Oman yang sekali gus mengesahkan kemenangan buat pasukannya.

Keputusan tersebut mencetuskan kontroversi buat seketika kerana kesilapan Robert yang pada mulanya membatalkan gol itu setelah merujuk kepada VAR.

Pada saat penyokong serta pemain Oman sudah meraikannya, beliau dengan pantas mengubah semula keputusan dengan mengiktiraf gol tersebut.