Skuad hoki lima sebelah (5s) Malaysia gagal menyaingi kemampuan hebat Belanda apabila tewas 2-5 pada aksi final Piala Dunia Hoki 5s 2024 yang berlangsung di Muscat, Oman sebentar tadi,

Tidak seperti perlawanan-perlawanan sebelum ini, anak buah Wallace Tan kelihatan sedikit bergelut untuk mempamerkan aksi terbaik susulan tekanan hebat dijelmakan Belanda.

Baca Juga:

Tambahan pula pemain Belanda turut mengambil kesempatan dengan kelebihan fizikal serta kualiti individu dimiliki.

Skuad negara tersentak seawal minit pertama selepas Belanda dihadiahkan ‘Penalty Challenge’ yang disempurnakan oleh Van Der Drift Yannick.

Kelebihan itu hanya bertahan seminit setelah ketua pasukan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook meledakkan jaringan penyamaan daripada jarak dekat.

Anak buah Gerold Hoeben itu menjadikan kedudukan 2-1 pada minit keenam menerusi percubaan cantik Reyenga Pepijn dan Drift Yannick menambah gol ketiga berselang tujuh minit kemudian.

Muhammad Firdaus Omar merapatkan defisit jaringan pada minit ke-16 hasil jaringan daripada jarak jauh yang memberikan sedikit harapan buat Malaysia untuk bangkit.

Tetapi, jaringan itu tidak langsung merentap semangat juang Belanda yang berupaya menambah dua lagi gol sumbangan Sander de Wijn menerusi ‘Penalty Challenge’ pada minit ke-26 dan Jamie van Aart pada minit ke-28.

Penjaga gol, Koene Schaper juga turut memainkan peranan penting dalam menafikan banyak peluang dihasilkan pemain Malaysia dalam usaha membantu Belanda menjuarai saingan edisi pertama ini.

Ia merupakan kejuaraan berganda buat Belanda selepas skuad wanita negara tersebut turut muncul juara bagi kategori wanita selepas menumbangkan India 7-2.