Pahang Rangers menambah kekuatan pasukan menjelang saingan Piala Futsal Malaysia 2024 selepas merekrut Guntur Sulistyo Ariwobowo dari Gombak TOT United.

Kehadiran pemain kelahiran Jawa Tengah itu adalah bagi menggantikan tonggak Brazil, Murilo Carlos Saad yang terpaksa meninggalkan pasukan akibat kecederaan dialaminya.

Baca Juga:

Perkembangan terkini kehadiran Guntur itu disahkan Pahang Rangers menerusi satu pengumuman rasmi yang dibuat, sebentar tadi.

Guntur dilihat merupakan calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan tersebut berikutan aksi ditampilkannya bersama Gombak TOT United dalam kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim ini.

Meskipun dibebani dengan isu tunggakan gaji, Guntur masih mampu membuktikan kemampuannya dengan meledakkan 15 jaringan buat pasukan lamanya itu. Jumlah gol yang menjadikan beliau sebagai penjaring ketiga terbanyak dalam kempen liga.

Melihatkan kepada aksi yang ditampilkan sepanjang musim ini, pemain berusia 27 tahun itu mempunyai kemampuan hebat dalam melakukan rembatan padu dalam usaha merobek gawang lawan.

Selain itu, Guntur juga memiliki kemahiran individu yang cukup baik untuk diadunkan dengan pemain-pemainĀ  berkualiti lain dalam skuad Pahang Rangers.

Tambahan pula, Pahang Rangers turut memiliki peledak berbisa, Felipe de Almeida Souza yang merupakan penjaring terbanyak liga dengan 24 gol. Satu kombinasi dua peledak berbisa yang pastinya amat menarik untuk disaksikan nanti.

Pahang Rangers yang merupakan juara bertahan akan berhadapan dengan naib juara Divisyen 2, Kedah dimana aksi pertama bakal berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada 9 September dan kemudiannya beralih pula ke Kompleks SUKPA, Kuantan.

Menanti Pahang Rangers atau Kedah di separuh akhir ialah pemenang antara Selangor dan Gombak TOT United.

Ia merupakan penganjuran kali ketiga bagi saingan Piala Futsal Malaysia dimana Selangor muncul juara sulung dan musim lalu menjadi pilih Pahang Rangers.