Malaysia gagal menggunakan kelebihan dua gol dimiliki apabila terikat 2-2 ketika bertemu New Zealand pada aksi pembukaan Piala Sultan Azlan Shah 2025 yang berlangsung di Ipoh sebentar tadi.
Masalah yang sering kali membelenggu skuad negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Satu Mata Buat Malaysia
Anak buah Sarjit Singh hampir dibolosi seawal minit pertama selepas New Zealand berjaya mendapatkan pukulan sudut penalti.
Namun, Hafizuddin Othman cemerlang di gawangnya untuk menafikan percubaan Sam Lane dan kemudiannya pertahanan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Jentera pertahanan negara juga dilihat cukup berdisiplin dalam mengekang tekanan awal direncanakan New Zealand.
Penyokong Malaysia melonjak kegembiraan pada minit ke-10 selepas Shello Silverius yang menerima hantaran jauh daripada Faizal Saari tidak melepaskan peluang menghasilkan jaringan pertama buat The Speedy Tigers.
Shello melakukan larian pantas ke dalam kawasan D New Zealand melakukan percubaan yang melepasi celah kaki penjaga gol lawan, Leon Hayward.
Tersentak dengan jaringan itu, New Zealand menguji gawang skuad negara menerusi percubaan dalam kawasan D oleh George Baker, namun Hafizuddin tangkas menafikan ledakan tersebut.
Malaysia melebarkan kedudukan pada minit ke-21 setelah Syed Syafiq Syed Cholan menyempurnakan pukulan sudut penalti yang gagal diselamatkan Hayward.
Tindakan pemain negara yang meminta ‘video reference’ susulan pukulan sudut penaltiĀ diberikan kepada New Zealand memakan diri apabila keputusan tersebut berubah kepada ‘penalti strok’ setelah kedua-dua ‘umpire’ berbincang.
Lane yang mengambil pukulan pada minit ke-26 menyudahkan peluang dengan baik meskipun Hafizuddin sudah dapat membaca arah pukulannya bagi merapatkan jurang gol.
Langkah pengendali New Zealand, Greg Nicol menerapkan taktikal ‘Power Play’ pada lewat permainan nyata membuahkan hasil selepas Thomas Dylan menyamakan kedudukan ketika permainan hanya berbaki 3 minit untuk ditamatkan.
Kedudukan 2-2 itu kekal hingga tamat permainan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.