Selepas mengumumkan kehadiran Umarbek Eshmurodov dan Ronnie Fernandez, Selangor terus menambah kekuatan pasukan dengan merekrut pemain sayap, Alvin Fortes.

Fortes merupakan pemain kelahiran Rotterdam, Belanda tetapi memilih untuk menyarung jersi skuad kebangsaan Cape Verde kerana bapanya merupakan keturunan negara tersebut.

Baca Juga:

Perkembangan terkini mengenai kehadiran pemain berusia 29 tahun itu disahkan laman sesawang rasmi Selangor FC, sebentar tadi.

Asia nyata bukan asing buat Fortes kerana beliau sebelum ini pernah beraksi bersama FC AGMK Olmaliq (Uzbekistan) pada musim 2021/22 serta Ratchaburi (musim 2022) dan kemudiannya dipinjamkan ke Nongbua Pitchaya (Thai League 2) pada musim lalu.

Bersama AGMK, Fortes turut pernah beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan menjaringkan empat gol pada 25 penampilannya dengan kelab tersebut.

Ketika berkelana di Thailand, beliau telah membuat 35 penampilan dimana 22 daripada sewaktu bersama Ratchaburi serta menjaringkan 11 gol.

“Saya tahu akan kewujudan kelab Selangor FC dan sentiasa mengikuti perkembangan mereka,” ujar Alvin Fortes menurut kenyataannya di laman sesawang kelab tersebut.

“Bagi saya, ini adalah kelab besar yang mempunyai kemudahan untuk berlatih yang berkualiti dan mereka juga bermain dengan baik dalam liga musim lalu.”

“Jadi, saya rasa ini kelab yang terbaik untuk saya teruskan kerjaya bola sepak. Saya tidak sabar untuk beraksi bersama Selangor FC dan bertemu penyokong Gergasi Merah. Jumpa anda tidak lama lagi,” tambah beliau lagi.

 

Sumber