Senarai lengkap 14 pemain yang bakal menggalas cabaran negara dalam saingan Kejuaraan Futsal ASEAN 2026 di Nonthaburi, Thailand bermula 6 hingga 12 April 2026 sudah diketahui.

Buat pertama kalinya skuad futsal negara hampir 100 peratus berwajah baharu dengan pemain-pemain yang tidak pernah beraksi di pentas senior bersama skuad kebangsaan selain daripada Syed Shahrul Niezam Syed Abd Rahim dan Muhammad Aidil Zakwan Zaidi bakal membawa cabaran negara.

Edisi kali ini menyaksikan pengendali skuad futsal negara, Addie Azwan Zainal menyenaraikan lima pemain dibawah usia 20 tahun.

Satu pendekatan terbaik dalam memberikan lebih banyak peluang buat pemain muda ini mematangkan lagi karakter masing-masing untuk mengharungi saingan intensiti buat mereka.

Lima pemain yang dimaksudkan trio dari Selangor iaitu  Mohamad Faaris Amsyar Marhaidi, Aidil Zakwan dan Iqbal Hazim Radzi. Dua lagi pemain terdiri daripada Muhammad Adam Rayyan Nor Hisam dari Pahang Rangers dan penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohammad Ammar Harith Mohammad.

Aidil Zakwan sebelum ini pernah merasai pengalaman beraksi dalam Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta pada Januari lalu.

Selain itu Pemain Harapan Liga Super Liga Futsal IPT 2025, Ahmed Haziq Haikal Rashidi dari Selangor turut berjaya mencuri tumpuan Addie untuk dibawa ke Nonthaburi.

Menurut sumber kenyataan rasmi dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Syed Shahrul Niezam, 27, telah dinamakan sebagai ketua pasukan bagi kejohanan kali ini.

Kejuaraan Futsal ASEAN 2026 yang berlangsung di Stadium Nonthaburi disertai lapan pasukan dengan tuan rumah Thailand diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Vietnam, Myanmar dan Timor-Leste manakala Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama-sama juara bertahan Indonesia, Australia dan Brunei, selepas Kemboja menarik diri.

Skuad futsal Harimau Malaya akan memulakan kempen Kejuaraan Futsal ASEAN 2026 dengan aksi pembukaan berdepan Australia pada Isnin, 6 April, disusuli aksi kedua menentang Indonesia pada Selasa, 7 April dan perlawanan terakhir bertemu Brunei pada Rabu, 8 April.

Jika berjaya muncul juara atau naib juara kumpulan, aksi separuh akhir dijadual pada Jumaat, 10 April 2026 disusuli aksi final dan penentuan tempat ketiga pada Ahad, 12 April 2026.

Senarai Lengkap Pemain Negara Ke Kejuaraan Futsal ASEAN 2026

1) Mohamad Faaris Amsyar Marhaidi (Selangor)

2) Muhammad Aidil Zakwan Zaidi (Selangor)

3) Iqbal Hazim Radzi (Selangor)

4) Ahmed Haziq Haikal Rashidi (Selangor)

5) Muhammad Amiro Izzat Mohd Annuar (Pahang Rangers) – Penjaga Gol (Goleiro)

6) Muhammad Adam Rayyan Nor Hisam (Pahang Rangers)

7) Muhammad Amirul Syahmi Mohd Sanusi (USM FC)

8) Muhammad Danial Zhafirul Bazlan (USM FC)

9) Mohd Zulhairi Haris (Sabah)

10) Matias Danisan (KL City)

11) Alif Iqwan Hussin (ATM)

12) Mohammad Ammar Harith Mohammad (JDT) – Penjaga Gol (Goleiro)

13) Muhammad Arif Roslan (Malaysian University)

14) Syed Shahrul Niezam Syed Abd Rahim (Terengganu)